Tutup Jalan TAR: Peniaga berbeza pendapat

Peniaga di Jalan TAR berbeza pendapat tentang rancangan kerajaan mahu menutup jalan tersebut kepada kenderaan persendirian, walaupun pembeli rata-rata mengalu-alukan langkah itu.

KUALA LUMPUR: Peniaga dan penjaja Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) di Kuala Lumpur bimbang sekiranya kerajaan menjadikan jalan itu sebagai laluan bebas kenderaan atau ‘pedestrian mall’ seperti diuar-uarkan sebelum ini.

Seorang peniaga barangan aksesori wanita, Bainie Amin, 50, berpendapat cadangan itu tidak sesuai kerana ia akan menyukarkan pelanggan yang membeli dan membawa barang dalam kuantiti besar.

“Rata-rata pelanggan di Jalan TAR ini membeli barang dalam kuantiti yang banyak. Dengan kesukaran mendapat tempat parkir sedia ada, penutupan jalan akan menyukarkan lagi pelanggan untuk datang ke sini.

“Kadang-kadang mereka masuk juga hanya untuk mengambil barang yang dibeli. Jika Jalan TAR ditutup kepada semua kenderaan kecuali bas, ia semakin menyusahkan pelanggan,” katanya kepada FMT. Beliau mengaku telah berniaga di Jalan TAR sejak 1994.

Peniaga barangan aksesori wanita, Bainie Amin

Pada 12 Februari lalu, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata, laluan sepanjang Jalan TAR, iaitu dari pusat beli-belah Sogo akan ditutup kepada semua kenderaan kecuali bas mulai 15 Mac ini.

Khalid berkata, penutupan jalan sepanjang satu kilometer dari Jalan Esfahan sehingga Jalan Melayu itu dibuat bagi memberi keselesaan kepada orang ramai untuk berurusan di kawasan perniagaan terbabit.

Khalid juga dilaporkan berkata, keputusan berhubung cadangan penutupan sebahagian Jalan TAR kepada kenderaan awam itu akan dimuktamadkan sebelum 15 Mac ini.

Keputusan itu akan dibuat berdasarkan maklumat balas pihak berkepentingan, terutamanya penjaja dan peniaga di sekitar Jalan Esfahan hingga ke Jalan Melayu.

Seorang lagi peniaga aksesori lelaki dan wanita, Ramli Ibrahim, 64, berkata, beliau tidak mempunyai masalah sekiranya Jalan TAR ditutup atau sebaliknya.

Ramli berkata, cadangan Khalid itu tidak menjadi masalah, sebaliknya beliau lebih bimbang tentang lambakan peniaga warga asing dan peniaga tanpa lesen.

“Isu ini sebenarnya setiap tahun berlaku, dan apabila menjalang Hari Raya Aidilfitri, ketika itu lambakan peniaga tanpa lesen, dan tapak meniaga di jual antara laluan jalan Esfahan sehingga Jalan Melayu.

Peniaga, Ramli Ibrahim berkata, beliau tidak mempunyai masalah sekiranya Jalan TAR ditutup.

“Bagi saya isu nak tutup Jalan TAR tak jadi masalah. Saya percaya rezeki milik Allah. Jika kita berikhtiar tak jadi masalah,” katanya yang berniaga di situ sejak 1976.

Bela peniaga, penjaja Melayu, tempatan

Seorang penjaja “Food Truck”, Yusof Ismail, 61, berkata, penutupan Jalan TAR n menjadikannya laluan pejalan kaki akan memberi keselesaan kepada peniaga seperti beliau untuk menjalankan perniagaan.

Beliau menganggap rancangan itu juga boleh membela peniaga Melayu di kawasan itu.

Peniaga Food Truck, Yusof Ismail.

“Saya tak lihat ia sesuatu yang mendatangkan masalah. Mereka boleh parkir di Sogo dan berjalan kaki ke Jalan TAR.

“Ini beri lebih banyak peluang kepada peniaga Melayu untuk berniaga sebab kita lihat peniaga Pakistan dan India mula memonopoli kawasan ini,” katanya.

Beberapa pelanggan yang ditemui di kawasan peniagaan itu juga rata-rata bersetuju dengan langkah kerajaan tersebut.

“Ia boleh memberi keselesaan kepada pelanggan untuk membeli-belah, selaing mengurangkan kesesakan sepanjang Jalan TAR,” kata seorang pembeli, Shahirah Ahmad kepada FMT.