Umno-PAS setuju jalin kerjasama rasmi selepas PRK Semenyih

SEMENYIH: Umno dan PAS bersetuju menjalinkan kerjasama secara rasmi dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa selepas pilihan raya kecil DUN Semenyih nanti.

Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerjasama antara Umno dan PAS sekarang ini secara tidak rasmi tapi di peringkat tertinggi kedua-dua parti bersetuju untuk jalin kerjasama secara rasmi.

“Kita bersetuju untuk mengadakan rundingan dan kerjasama di peringkat pusat selepas tamat PRK Semenyih ini. Umno akan dipengerusikan oleh saya sendiri, manakala PAS oleh Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man,” katanya pada pemberita ketika mengadakan lawatan ke Kampung Sungai Jai, Beranang hari ini.

Bagaimanapun, Mohamad tidak menyatakan jumlah wakil Umno yang akan terlibat dalam jawatankuasa itu.

Semalam, media melaporkan 2 parti pembangkang itu akan menubuhkan jawatankuasa sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.