2 lagi suspek dalang sindiket kerja di Kemboja ditahan

Polis berkata seramai 23 mangsa iaitu 18 lelaki dan lima wanita tampil membuat laporan. (Gambar Bernama)

KUCHING: Polis menahan 2 lagi individu yang disyaki dalang sindiket penipuan pekerjaan kepada 47 rakyat Malaysia yang ditahan di penjara Kemboja pada 11 Dis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata kedua-dua suspek, seorang lelaki dan seorang wanita yang masing-masing berumur 35 tahun itu ditahan di 2 rumah berasingan di Traffic Garden dan Taman Chung Hua pada 5 petang semalam.

“Ketika serbuan, polis turut merampas telefon bimbit, kad ATM dan kad mastercard BigPay. Ujian saringan awal mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah akan dibuat di Mahkamah Majistret Kuching sekiranya siasatan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam.

Pada Sabtu lepas, polis menahan seorang suspek kes tipu pekerjaan berhubung penahanan 47 rakyat Malaysia terbabit dan direman selama 4 hari bermula semalam.

Setakat ini, seramai 23 mangsa iaitu 18 lelaki dan lima wanita tampil membuat laporan polis.