Adib meninggal akibat kegagalan paru-paru, kata doktor IJN

Mohamed Ezani Md Taib ialah saksi ke-14 inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim dan seorang daripada doktor yang merawat anggota bomba itu di IJN. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Doktor yang merawat Muhammad Adib Mohd Kassim di Institut Jantung Negara berkata, anggota bomba itu meninggal dunia akibat kegagalan paru-paru atau sindrom kesukaran pernafasan akut (ARDS).

Perunding kanan pakar bedah kardiotorasik IJN, Datuk Dr Mohamed Ezani Md Taib berkata, ARDS adalah kegagalan paru-paru yang berkait rapat dengan kegagalan beberapa fungsi organ lain, termasuk buah pinggang.

“Punca kematian secara klinikal ialah sindrom kesukaran pernafasan orang dewasa atau dengan kata lain kegagalan paru-paru yang teruk,” katanya menjawab soalan pegawai inkues, Fatin Hadni Khairuddin pada hari ke-9 inkues menentukan punca kematian Adib di Kompleks Mahkamah Shah Alam, hari ini.

Saksi ke-14 inkues itu berkata, paru-paru Adib cedera disebabkan trauma tumpul pada dadanya.

“Pesakit ini mengalami trauma tumpul di dadanya akibat hentakan objek keras yang terkena dadanya.

“Apa objek keras itu? Ia spekulatif.”

Katanya, fungsi paru-paru dan jantung Adib tidak kembali normal, manakala buah pinggangnya juga tidak pulih, walaupun menjalani dialisis sepanjang 21 hari dirawat di IJN.

Ezani berkata, Adib hanya sempat menjalani fasa ke-2 rawatan daripada 4 fasa yang dirancang pihaknya kerana keadaan pesakit itu terlalu lemah.

Beliau berkata, fasa pertama ialah penggunaan mesin khas, Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO) bagi menyokong fungsi paru-paru dan jantung mangsa.

Katanya, fasa ke-2 apabila pesakit tidak lagi bergantung kepada mesin itu dan fasa ke-3 ialah menentukan rawatan lanjut, termasuk pembedahan.

“Bagaimanapun, pada 14 Disember lalu, keadaan dia semakin letih dan sukar bernafas, tetapi berupaya mengekalkan tahap oksigen.

“Pada 15 Disember, keadaannya semakin merosot dan kami terpaksa menggunakan ECMO semula, memandangkan tekanan darahnya semakin tidak stabil.

“Pada 16 Disember, keadaannya kritikal meskipun pelbagai usaha dilakukan kami. Beliau meninggal dunia pada 17 Disember.”

Suneta Sulaiman ialah ketua ICU di IJN.

Ditanya mengapa pembedahan tidak dilakukan selepas Adib tidak lagi bergantung kepada ECMO, Ezani berkata, kemungkinan besar pesakit mengalami pendarahan tidak dapat dikawal semasa pembedahan.

“Selain itu, kesihatan pesakit perlu berada pada tahap terbaik, termasuk memiliki paras protein mencukupi dan kekuatan otot dan beberapa parameter lain.”

Beliau berkata, ada suatu ketika selepas tidak bergantung kepada ECMO, keadaan Adib bertambah baik dengan beliau mampu menggerakkan tangan dan duduk di kerusi dengan bantuan jururawat.

Anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya itu parah dalam keganasan di luar Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Adib meninggal dunia 3 minggu selepas dirawat di IJN.

Sementara itu, ketua unit rawatan rapi IJN, Dr Suneta Sulaiman berkata, Adib sempat mengadu sakit bahu kanan ketika dirawatnya.

Katanya, beliau cuba berkomunikasi dengan Adib dan memintanya membuat beberapa pergerakan pada hari ke-6 rawatannya di IJN.

“Pada hari itu, pesakit boleh memberikan respons, mengangkat tangannya, menggunakan tangan sebelahnya (kiri) untuk menunjukkan bahunya yang sakit.”

Saksi ke-15 inkues itu berkata, keadaan Adib sangat kritikal, setibanya dari Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) pada tengah malam 27 November lalu.

“Kedua belah buah pinggangnya gagal berfungsi, ditambah dengan denyut jantungnya yang laju berbanding sepatutnya.

Disebabkan itu, katanya, mereka memberi rawatan Veno-Venous Extracorporeal Membrane Oxygenation kepada Adib.

“Masa itu (di SJMC), pesakit mendapat bantuan bekalan oksigen pada tahap 100%. Jantungnya 130 per seminit, kalau untuk normal 60 hingga 100 per minit.

“Kami suspek buah pinggangnya gagal berfungsi kerana ketidakstabilannya dan keadaannya yang sakit kritikal.”