Ambil alih tol dalam rundingan, tidak boleh dedah, Azmin beritahu Tok Mat

Menteri Hal-ehwal Ekonomi, Azmin Ali.

SEMENYIH: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengkritik Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan yang menggesa kerajaan mendedahkan pembiayaan dan kos rancangan mengambil alih konsesi tol daripada Gamuda Berhad.

Menteri hal ehwal ekonomi itu berkata, ini disebabkan pengambilalihan tol berkenaan masih di peringkat rundingan.

“Ini (pengambilalihan tol) sedang dirunding. Macam mana nak dedahkan butiran rundingan sedangkan ia (rundingan) belum lagi mempunyai kata putus.

“Perkara ini jelas dalam kenyataan pejabat perdana menteri,” katanya, kepada pemberita selepas majlis Rapat Rakyat Semenyih di sini, malam tadi..

Kelmarin, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan pengguna di 4 lebuh raya akan menikmati kadar tol diskaun 30% bagi pengunaan waktu biasa, selepas konsesi lebuh raya berkenaan diambil alih oleh kerajaan susulan rundingan dengan syarikat konsesi, Gamuda Berhad.

Empat lebuhraya terbabit adalah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART.

Menurut kenyataan itu lagi, bayaran tol di 4 lebuh raya itu dihapuskan sama sekali antara jam 11 malam dan 5 pagi, sementara pengguna masa puncak selama 6 jam sehari dikenakan caj kesesakan yang bersamaan dengan kadar bayaran tol sedia ada.

Mohamad semalam menggesa kerajaan mendedahkan pembiayaan dan kos rancangan mengambil alih konsesi tol berkenaan kerana katanya, jumlah, terma dan mekanisme yang akan digunakan pasti menggandakan beban kewangan kerajaan.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu juga mempersoalkan mengapa kerajaan perlu menggunakan dana untuk mengambil alih lebuh raya yang dimiliki Gamuda, bukannya yang dimiliki oleh Plus Malaysia Berhad.

Mengulas mengenai isu itu Azmin, yang juga timbalan presiden PKR berkata, pengambilalihan lebuh raya dan usaha kerajaan menghapusakan tol perlu dilakukan “satu persatu”.

“Bila kita ambil 4, dia kata kita tak ada kemampuan, tetapi suruh kita ambil satu lagi,” sindirnya.

Terdahulu, semasa berucap di hadapan kira-kira 500 orang pada majlis itu bersempena kempen pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Azmin mengakui calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Aiman Zainali tidak mempunyai pengalaman.

“Betul saya setuju, Aiman tak ada pengalaman curi duit. Itu Aiman tak ada. Aiman tak ada pengalaman akaunnya ada RM2.6 bilion, tak ada.

“Aiman tak ada pengalaman dengan perempuan Altantuya (Shaariibuu), tak ada. Tetapi Aiman ada potensi menjadi wakil rakyat Semenyih dan mengangkat martabat rakyat di sini,” katanya.

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini dilaporkan mengkritik Aiman dengan berkata, calon PH itu tidak petah bercakap dan secara berseloroh menyifatkan ketua cawangan BN lebih hebat berbicara berbanding jurutera muda itu.

PRK Semenyih pada 2 Mac depan menyaksikan persaingan 4 penjuru antara Aiman yang mewakili PPBM-PH dengan calon BN, Zakaria Hanafi; Nik Aziz Afiq Abdul (PSM) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng yang lebih dikenali sebagai “Uncle Kentang”.