Awak sokong ke tak sokong, Dr M persoal pendirian tak tetap PAS

LANGKAWI: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak faham dengan sikap PAS yang berpendirian tidak tetap dalam menyuarakan sokongan terhadapnya untuk kekal sebagai perdana menteri.

Pengerusi Pakatan Harapan berkata, baru-baru ini beberapa pemimpin PAS menemui dan menyatakan sokongan agar beliau kekal sebagai perdana menteri, namun dalam situasi lain parti itu melakukan tindakan dilihat tidak menyokongnya.

“(Presiden) Datuk Seri Abdul Hadi Awang, (Setiausaha Agung) Datuk Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar datang berjumpa saya dan menyatakan sokongan kepada saya untuk terus sebagai perdana menteri.

“Bahkan mereka memberi pengakuan secara bertulis ditandatangani oleh Takiyuddin sekurang-kurangnya, hasrat mereka ialah supaya saya terus jadi perdana menteri,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Kampungku Sihat peringkat kebangsaan hari ini.

Dr Mahathir mengulas kenyataan Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi hari ini bahawa PAS dan Umno akan menubuhkan jawatankuasa bagi mengelakkan pertembungan kedua-dua parti itu dalam mana-mana pilihan raya selepas ini.

Pengerusi PH berkata walaupun selepas menyatakan sokongan terhadapnya, ada pemimpin PAS muncul bersama pemimpin Umno semasa hari penamaan calon pilihan raya kecil Semenyih.

Beliau berkata tindakan PAS yang tidak bertanding juga menimbulkan persoalan sama ada mereka sebenarnya bekerjasama dengan Umno untuk menentang calon PH, yang dilihat sebagai tidak menyokong perdana menteri.

“PAS pula tidak letak calon bermakna mereka akan memberi laluan kepada Umno dan jelas sekali hari ini mereka bekerjasama dengan Umno.

“Jadi saya susah nak terima apa yang didakwa oleh PAS, satu masa dia kata sokong, satu masa dia buat yang dia tidak sokong. Jadi inilah cara PAS,” katanya.

Baru-baru ini Hadi, Takiyuddin dan Samsuri dilapor menemui Dr Mahathir di Putrajaya bagi menyatakan sokongan kepada pengerusi PPBM itu jika berlaku pengkhianatan daripada mana-mana parti komponen PH.