Guru Tingkatan 6 jengkel, kerja lebih, gaji sama

Guru Tingkatan 6 berkata, mereka dikehendaki mengajar kelas bukan tingkatan 6 walaupun mereka sepatutya tidak perlu berbuat demikian. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sekumpulan guru Tingkatan 6 dari Kuantan membidas struktur yang diperkenalkan Lembaga Peperiksaan Malaysia pada 2016, dengan mendakwa ia menambah jam kredit mingguan mereka tanpa kenaikan gaji yang bersesuaian.

Mereka berkata, beban kerja yang dipikul adalah jauh lebih berat daripada pensyarah di kolej matrikulasi atau guru di sekolah menengah dan rendah.

“Waktu bekerja guru meningkat kira-kira 2 setengah jam setiap minggu, iaitu dari 32 jam 50 minit ke 35 jam 20 minit,” kata seorang daripada mereka yang tidak mahu dikenali.

Beban kerja itu termasuklah “kerja perkeranian” dan tugas pentadbiran yang tidak ada kena-mengena dengan tugas pengajaran dan pembelajaran, tambah beliau.

“Guru Tingkatan 6 merupakan entiti berlainan daripada guru arus perdana di sekolah rendah dan menengah,” katanya.

Oleh sebab itu kata beliau, mereka tidak seharusnya terlibat dalam mesyuarat mingguan yang “tidak perlu” atau menyediakan laporan atau jadual program di luar bilik darjah seperti aktiviti luar kurikulum, tambah guru itu lagi.

“Struktur baru itu jelas menyebut guru Tingkatan 6 hanya mengajar kelas tingkatan 6, walaupun mereka masih tertakluk kepada pentadbiran sekolah. Kami tidak perlu mengajar pelajar lain.

“Bagaimanapun kami masih dipaksa melakukan kerja yang tidak berkaitan. Sesetengahnya masih diminta mengajar kelas ganti,” katanya.

Beliau juga mengkritik dasar seperti Rancangan Mengajar Elektronik yang menghendaki guru menyediakan rancangan mengajar menggunakan peranti elektronik.

Guru itu berkata, ini memanjangkan masa yang perlu digunakan untuk menyediakan rancangan mengajar kerana kelajuan sambungan internet di sekolah adalah rendah.

“Sebelum ini, guru menggunakan buku rekod untuk membuat rancangan mengajar. Ia mengambil masa 40 minit untuk menyediakan rancangan mengajar untuk seminggu.”

Beliau berkata, selain sekolah kekurangan logistik untuk melaksanakan dasar itu dengan berkesan, ramai guru terpaksa menggunakan wang sendiri untuk membeli peranti elektronik dan data internet bagi menyiapkan tugas masing-masing.

Aduan kepada Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) setakat ini tidak mendapat apa-apa respons, kata beliau.