Impian pelarian Myanmar berkecai jika Malaysia hantar mereka pulang

Pelarian Chin mendapat pendidikan di Pusat Pendidikan Ruth di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Kim Lek berjalan kaki dan ada kalanya dia berlari ketika melarikan diri ke Malaysia dari rumahnya di negeri Chin, Myanmar pada usia 11 tahun.

Bersama-sama ibu dan 3 adik beradik yang lain, dia menempuh perjalanan 9 hari dengan berjalan kaki dengan penuh ketakutan, bersembunyi dari polis dan askar serta meminum air sungai yang mereka seberangi.

Di Malaysia, mereka bersatu semula dengan ayah mereka, yang datang terlebih dahulu daripada mereka. Keluarga ini kini berada bawah naungan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Tetapi kini, mereka diberitahu bahawa UNHCR menarik balik perlindungannya selepas mengisytiharkan perkembangan terbaru bahawa Myanmar sudah selamat untuk penduduk Chin kembali ke tanah air mereka.

Ia diumumkan pada Jun tahun lepas di mana 40,000 pelarian Chin di Malaysia tidak lagi akan dianggap sebagai pelarian, dan mesti pulang ke negara mereka pada 2020.

Kim, yang kini berusia 18 tahun, bercita-cita untuk menjadi pakar bedah ortopedik, impian yang tidak akan menjadi kenyataan jika dia terpaksa pulang ke negeri Chin.

“Oleh kerana PBB berkata kami perlu kembali, itu akan menjadi sangat sukar bagi kami,” katanya.

James Bawi Thang Bik berkata penduduk Chin yang kembali ke Myanmar akan segera balik ke Malaysia kerana tempat asal mereka tidak stabil.

Kebanyakannya penduduk Chin adalah Kristian, selepas kedatangan mubaligh AS pada abad ke-19 dan ke-20. Kebanyakan mereka melarikan diri dari Myanmar kerana penganiayaan yang dihadapi di sana.

James Bawi Thang Bik, dari Perikatan Pelarian Chin, berkata mereka akan terdedah kepada masalah yang tidak dapat dielakkan apabila mereka pulang.

“Setakat ini, tidak ada janji dari kerajaan Myanmar berhubung kad pengenalan,” katanya. “Tetapi kami tidak boleh hidup di sana tanpanya.

“Kebanyakan pelarian membesar di Malaysia. Ada yang dilahirkan di sini, jadi mereka tidak ingat tempat lain. Setiap bulan, kira-kira 200 lagi anak muda tiba, biasanya selepas berjalan ke Malaysia melalui hutan.

“Orang yang pulang ke kampung biasanya segera kembali ke Malaysia kerana keadaan di Myanmar masih jauh daripada stabil.”

UNHCR mengeluarkan kad kepada pelarian berdaftar. Ini memberikan perlindungan yang terhad daripada pihak berkuasa, serta beberapa akses kesihatan dan pendidikan.

Di bawah undang-undang Malaysia, pelarian berdaftar dan tidak berdaftar boleh ditangkap dan dihantar pulang. Bagaimanapun, pelarian yang boleh menunjukkan kad UNHCR kepada pegawai polis atau imigresen biasanya boleh mengelak daripada ditangkap.

Sehingga Januari 2020, status Chin sebagai pelarian akan tamat dan kad mereka tidak lagi diperbaharui oleh UNHCR.

Pusat Pendidikan Ruth (REC) adalah sekolah kediaman Kristian di Kuala Lumpur di mana banyak anak muda Chin membina semula kehidupan dan bersiap sedia untuk masa depan mereka.

FMT menemui sekumpulan pelajar muda Chin di REC, bertanyakan tentang pengalaman dan harapan mereka.

Brandon, 16, tidak boleh melupakan malam sebelum perjalanannya bermula ke Malaysia.

“Ibu bapa saya pulang ke rumah dalam keadaan cedera dan berdarah selepas tentera memukul mereka kerana berceramah di kampung mereka.”

Cecilia, 15, pula teringat kembali bagaimana dia mengelak daripada berjalan di siang hari agar tidak dapat dikesan polis dan askar. “Kadang-kadang kami tidak makan selama beberapa hari. Perjalanan itu mengambil masa sebulan,” katanya.

Kebanyakannya datang tanpa membawa apa-apa kecuali pakaian mereka. Mereka meninggalkan semua yang dimiliki supaya mereka dapat meninggalkan negara itu secepat mungkin.

Lili, 17, berkata keluarganya menjual tanah dan harta benda mereka untuk membayar agensi yang membantu mereka melarikan diri.

“Ketika kami pertama kali datang ke Malaysia, ibu bapa saya memberitahu kami agar tidak bermain di luar kerana takutkan polis,” kata Lili. “Jika mereka menjumpai kami, mereka akan menghantar kami ke pusat tahanan.”

Tetapi bagi mereka, Malaysia masih menjadi tempat tinggal di mana mereka dapat hidup dengan aman dan mempunyai jaminan masa depan yang cerah dalam pendidikan yang diterima di REC.

“Di Malaysia, kami mempunyai peluang untuk mendapatkan masa depan yang baik,” kata Lili, “Di Myanmar, saya tidak berpeluang belajar bahasa Inggeris seperti di sini.”

Status pelarian adalah satu-satunya identiti golongan muda ini perolehi. Kebanyakan mereka tidak didokumentasikan, kecuali kad UNHCR mereka.

“Di Myanmar tentera datang ke rumah kami dan mengambil semua dokumen kami,” kata Brandon. “Sejak itu, kami tidak sah di negara kami sendiri.”

“Ibu bapa saya telah meninggal dunia. Saya tinggal bersama kakak saya,” kata Cecilia. “Jika kami kembali ke Myanmar tanpa dokumen yang sah kami tidak dapat bekerja.”

“Masa depan dan harapan kami bergantung kepada UNHCR, tetapi kini ia seperti jambatan yang dirobohkan,” kata David, 17.

Antara 2005 hingga 2017, UNHCR menempatkan lebih 65,000 rakyat Chin, hampir semua di Malaysia. Sebahagian besar pergi ke AS, dengan yang lain pergi ke negara seperti Jepun, Korea Selatan dan Australia.

Walaupun Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah pada Oktober lalu, berkata kerajaan Malaysia tidak akan memaksa pelarian untuk kembali ke Myanmar jika keadaan tidak selamat, namun anak-anak muda ini bimbang.

Mereka lebih suka menjadi pelarian di Malaysia daripada menjadi orang buangan di negara mereka sendiri.

Mereka percaya hidup di Malaysia adalah cara terbaik untuk mereka mencapai matlamat kerana ia adalah satu-satunya tempat di mana mereka boleh selamat dan mempunyai akses kepada pendidikan.

“Sejak PBB mengumumkan bahawa kami tidak lagi pelarian, saya tidak dapat melihat masa depan saya lagi,” kata Cecilia, yang bercita-cita mahu menjadi jurugambar.

Jika mereka dipaksa kembali ke negara mereka, mereka akan berdepan penganiayaan yang sama yang mereka alami sebelum ini, lebih buruk lagi mereka akan menjadi orang asing di negara mereka sendiri tanpa dokumen undang-undang yang sah.

“Menjadi pelarian bukan pilihan untuk anak-anak muda ini,” kata James.

“Hanya pendidikan boleh menyelamatkan mereka dan memberi peluang kepada mereka untuk masa depan yang baik.”

“Kembali ke Myanmar, kemudian mereka sedar bahawa saya adalah pelarian, mereka akan membuat hidup saya sangat sukar,” kata Lili.

“Tidak mustahil bagi saya untuk mencapai cita-cita saya.”