Israel tahan semula lelaki Palestin lancar mogok lapar di penjara

Lebih 6,000 rakyat Palestin kini meringkuk dalam penjara di seluruh Israel.

JENIN: Tentera Israel pada Isnin menahan semula seorang lelaki rakyat Palestin, yang dibebaskan beberapa bulan lepas kerana melancarkan mogok lapar selama hampir 2 bulan, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Adnan Khader ditahan dalam satu serbuan tentera Israel ke atas rumahnya di pekan Arraba di bandar Jenin yang terletak di Tebing Barat, kata penduduk setempat.

Tentera Israel belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung penahanan itu.

Khader menarik perhatian antarabangsa tahun lepas apabila beliau melancarkan mogok lapar selama 55 hari bagi membantah pemenjaraannya di bawah dasar penahanan pentadbiran Israel.

Beliau kemudian dibebaskan selepas mencapai persetujuan dengan pihak berkuasa Israel berhubung pembebasannya.

Di bawah dasar penahanan pentadbiran, seseorang boleh ditahan tanpa dibicarakan bagi tempoh antara 6 bulan hingga setahun.

Tentera Israel sering menyerbu kediaman rakyat Palestin di Tebing Barat yang didudukinya dan menahan penduduk tempatan Palestin dengan mendakwa mereka “dikehendaki” oleh agensi keselamatan Israel.

Lebih 6,000 rakyat Palestin kini meringkuk dalam penjara di seluruh Israel yang diisytiharkan sendiri oleh rejim itu sebagai milik orang Yahudi, menurut angka rasmi Palestin.