KKM: Gerakan anti-vaksin punca tahap imunisasi negara merosot

Isu anti-vaksin yang semakin menjadi-jadi memaksa KKM bertindak lebih tegas. (Gambar AFP)

KUALA LUMPUR: Gerakan anti-vaksin dilihat sebagai faktor utama tahap imunisasi negara merosot, malah menyukarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewajibkan pengambilan vaksin terhadap kanak-kanak di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, kes difteria yang dilaporkan di Johor akibat tidak mengambil vaksin sepatutnya membuka mata ramai pihak.

“Pengambilan vaksin merosot sejak beberapa tahun lalu, apabila kita tak capai 95% imunisasi, kita takut yang tidak diimunisasi akan menyebabkan wabak seperti apa yang berlaku di Johor ketika ini.

“Bukan mudah untuk melaksanakan pengambilan vaksin secara mandatori, ada pihak yang kurang bersetuju dan menggunakan hak untuk tidak divaksin. Kalau pandangan sebegini diikuti orang lain, ia akan menjadi sukar untuk ditangani,” katanya ketika sidang media selepas menghadiri persidangan Jawatankuasa Minyak dan Makanan kali ke-26, hari ini.

Dzulkefly juga memberi contoh bagaimana Filipina berdepan wabak demam campak disebabkan tidak mengambil suntikan imunisasi.

“Di Filipina, kes demam campak meningkat daripada 791 kes pada 2017 kepada 5,120 kes, iaitu peningkatan 700% dan membawa kepada 25 kematian.

“Apabila dikenal pasti, kebanyakannya adalah disebabkan kanak-kanak tidak divaksin, jadi demam campak cepat merebak dan 2 juta orang terdedah dengan wabak tersebut,” katanya.

Beliau menambah, isu anti-vaksin yang semakin menjadi-jadi memaksa KKM bertindak lebih tegas.

“Apa yang berlaku kebelakangan ini, saya perlu bertanggungjawab dan mengadakan pelbagai perbincangan bersama pakar, persatuan, perdana menteri pun telah diberitahu, jadi perkara ini akan dibentangkan dalam mesyuarat pasca Kabinet minggu ini,” katanya.

Pada masa yang sama, KKM tidak mahu bersikap mahu menghukum tetapi mengambil pendekatan mendidik masyarakat.

“Baru-baru ini ada dialog bersama pakar kesihatan dan wakil anti-vaksin di sebuah stesen televisyen, ini satu proses pencerahan dan penjelasan kepada masyarakat seperti program pendidikan.

“Kita tidak mahu bersikap menghukum tetapi lebih kepada mendidik, sebab itu kita ada bekerjasama dengan Jakim dan mufti supaya tidak timbul pandangan bahawa vaksin itu haram,” katanya merujuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Selasa lalu, lebih 50 individu yang pernah berhubung atau bertemu kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun yang meninggal dunia disyaki akibat jangkitan difteria, sedang disaring dan dipantau.

Semalam, 5 lagi kanak-kanak disyaki positif jangkitan difteria dan kini ditahan di wad pengasingan pediatrik Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal, berkata semua kanak-kanak termasuk 3 perempuan berusia bawah 4 tahun, dikesan positif jangkitan difteria susulan saringan terhadap 52 individu oleh Jabatan Kesihatan negeri.

Katanya, seorang daripada mangsa yang positif adalah kakak kepada budak lelaki berusia 2 tahun yang meninggal dunia.

“Daripada 5 kanak-kanak disyaki positif, 4 daripadanya didapati mengambil suntikan vaksin, manakala seorang lagi iaitu kakak kepada mangsa yang meninggal Selasa lalu, tidak mengambil suntikan vaksin.

“Semua kanak-kanak ini tinggal di kawasan perumahan yang sama dan tinggal di sebuah taska yang sama,” katanya.