Kubur nenek moyang bukti Orang Asli Gerik bukan penduduk haram

Orang Asli Gerik menunjukkan kawasan tempat pendaratan helikopter LZ Pos Keled, beberapa km dari Tasik Cunex.

GERIK: Masyarakat Orang Asli suku Temiar mendakwa peninggalan nenek moyang yang masih ada di kawasan Gerik adalah bukti mereka berhak diberi layanan adil oleh kerajaan Perak, termasuk memiliki tanah adat.

Penduduk tertua Kampung Tasik Cunex, Long Uda, 69, berkata, antara bukti masyarakat itu sudah lama bertapak sekian lama di situ termasuklah tempat keramat yang usianya ratusan tahun, mengatakan mereka bukan menetap secara haram.

Katanya, ia termasuk kubur lama berusia lebih 100 tahun di Pos Keled iaitu kampung asal mereka yang terletak kira-kira 4km daripada Kampung Cunex.

“Terdapat juga dusun buah-buahan yang ditanam oleh nenek moyang kami dahulu di sini dan ada juga yang musnah akibat pembalakan seperti gua yang digunakan sebagai tempat untuk berdoa memohon kesembuhan.

“Selain itu, sejarah tempat keramat buaya, kawasan tempat pendaratan helikopter LZ Pos Keled serta batu asah yang masih ada di sini,” katanya kepada media yang menyertai lawatan bersama Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) di perkampungan Orang Asli Gerik.

Long turut menafikan dakwaan bahawa tempat asal usul nenek moyang Orang Asli sengaja direka untuk menunjukkan mereka sudah lama tinggal di kawasan berkenaan.

“Macam batu asah itu, hanya Orang Asli sahaja pandai guna, masyarakat lain tidak tahu guna, kami guna bila masuk hutan untuk memburu dan singgah di sana untuk asah peralatan memburu, kalau orang luar datang mereka ingat itu batu biasa sahaja dan batu asah itu wujud puluhan tahun,” katanya.

Lebih 800 Orang Asli Temiar dari 6 kampung di Gerik mendakwa penempatan mereka tidak diiktiraf kerajaan negeri.

Ia melibatkan Kampung Cenaweng, Kampung Cunex, Kampung Jemol, Kampung Laba, Kampung Sungai Leyep dan Kampung Kewa.

Mereka turut mendakwa, kerajaan negeri tidak mengiktiraf penempatan mereka selepas masyarakat itu bertindak keluar dari Rancangan Penempatan Semula (RPS) Dala Kuala Agam.

Long berkata, keputusan mereka kembali menetap ke Tasik Cunex selepas keluar dari RPS pada 2011 kerana sayangkan hasil peninggalan nenek moyang yang dibina sebelum 1978.

“Kita sayangkan kayu, ubat, ikan, herba-herba dan perumahan kita sendiri. Sebab itulah kami tidak membenarkan pembalakan dan ia tidak sah.

“Saya sayangkan hak tempat nenek moyang kerana di situlah kehidupan kami. Nadi dan nafas kehidupan, badan serta nyawa kami di situ,” katanya.

Fauzi Bani (kiri) menunjukkan gambar tempat asal asul nenek moyang suku Temiar.

Seorang lagi penduduk, yang juga Ahli Jawatankuasa Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS) Semenanjung, Fauzi Bani berkata, mereka dipindahkan ke RPS Dala Kuala Agam berikutan darurat pada 1978.

“Kami berpindah dari Kampung Cunex di Pos Keled ke RPS Dala Kuala Agam. Pihak kerajaan mengambil mana-mana kampung dikumpulkan setempat di situ kerana darurat tapi setelah habis kita semua balik ke tempat asal masing-masing.

“Namun, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) bertindak tidak mengiktirafnya kerana ia di luar RPS tersebut yang berkeluasan 5,500 hektar,” katanya.

Katanya, mereka mengamalkan kehidupan berpindah-randah apabila terdapat kematian di kawasan itu.

Mereka tidak berpindah jauh daripada kawasan asal kerana akan berulang-alik ke kawasan ini bagi menziarahi kubur moyang.

Pembalakan musnahkan kawasan adat

Fauzi berkata, sejak aktiviti pembalakan dijalankan di kawasan Gerik, kebanyakan kawasan asal usul nenek moyang mereka musnah. Ia termasuklah pendapatan hasil hutan yang berkurangan.

Penduduk Tasik Cunex dan wakil penduduk Orang Asli di Gerik menunjukkan pokok durian berusia ratusan tahun hasil peninggalan nenek moyang mereka.

“Sekarang sudah kurang banyak pendapatan daripada hasil hutan, dulu kami dapat 100% hasil hutan sekarang 25% sahaja tinggal, dulu kami boleh dapat RM500 sebulan, sekarang nak dapat RM200 sebulan pun susah dari hasil hutan, kesan daripada aktiviti pembalakan,” katanya.

Awal Januari lalu, Orang Asli Tasik Cunex mendakwa kerajaan negeri menceroboh tanah adat dan bertindak membina sekatan.

Mereka mendakwa aktiviti pembalakan itu dilakukan di kawasan seluas 80 hektar, dijalankan tanpa kebenaran komuniti itu.

Jabatan Perhutanan Perak bagaimanapun menangkis tuduhan itu, menjelaskan tiada kawasan hutan simpanan kekal diwarta sebagai tanah adat di kawasan itu.

Pengarahnya, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata Perak mematuhi catuan tebangan tahunan (CTT) yang ditetapkan oleh Majlis Tanah Negara, iaitu seluas 7,744 hektar setahun.

Pembalakan juga dilaksanakan secara terpilih di mana hanya pokok-pokok yang menepati piawaian dibenarkan ditebang selepas melalui proses “tagging”.