Lelaki ditahan polis mengaku letak patung berhala di surau Klang

Patung ‘Datuk Gong’ yang memakai kalung bunga ini ditemui di Surau Sabilul Huda, Taman Pendamar Indah, Klang, pada 20 Februari lalu. (Gambar Facebook)

KLANG: Polis menahan seorang lelaki sebagai suspek 2 kejadian penemuan patung berhala di Surau Sabilul Huda, Taman Pendamar Indah, Pelabuhan Klang yang dilaporkan berlaku pada Rabu dan Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Shamsul Amar Ramli berkata, suspek dipercayai mempunyai masalah mental “gila isim” (mengamalkan ajaran Islam menyimpang) selepas mengaku pernah belajar ilmu agama yang salah di negara jiran.

Suspek berusia 37 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman Pendamar Indah pada 6.15 petang semalam.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis metamfetamin dan mempunyai 2 rekod jenayah lampau, iaitu mendatangkan kecederaan pada 1997 dan kes curi pada 2000.

“Hasil siasatan awal, suspek mengaku meletakkan patung kepercayaan Buddha yang dikenali sebagai ‘Datuk Gong’ kerana mahu mengajak mereka yang menganut agama berkenaan untuk sembahyang di surau terbabit dan 2 lagi patung kepercayaan Hindu turut diletakkan dengan tujuan sama.

“Suspek juga mengaku terbabit meletakkan patung berkenaan secara bersendirian di surau itu dan memaklumkan dia kerap bermimpi melihat Kaabah dikelilingi patung berhala serta percaya perlu bertindak melakukan perkara sama di surau berdekatan rumahnya,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Shamsul Amar berkata, suspek mengaku mengambil patung itu di sebuah tokong kecil berhadapan sebuah rumah dan tempat pembuangan sampah di sekitar kawasan perumahannya.

“Polis akan menjalankan siasatan menyeluruh merangkumi semua aspek dan tidak menolak kemungkinan suspek mempunyai masalah mental,” katanya sambil menegaskan kes itu tidak membabitkan sensitiviti agama dan perkauman.

Kes disiasat mengikut Seksyen 259 dan 379 Kanun Keseksaan.