Lelaki rampas pesawat di Bangladesh ditembak mati

Pesawat penumpang milik Biman Bangladesh Airlines dirampas ketika penerbangan ke Dubai. (Gambar Reuters)

DHAKA: Anggota komando Bangladesh pada Ahad menyerbu sebuah pesawat penumpang milik Biman Bangladesh Airlines di sebuah lapangan terbang di tenggara bandar Chattogram dan menembak mati seorang lelaki bersenjata yang cuba merampas penerbangan ke Dubai itu, lapor agensi berita China Xinhua.

Mejar Jeneral Motiur Rahman dari Angkatan Tentera Darat Bangladesh memberitahu pemberita suspek maut akibat kecederaan yang dialami semasa operasi komando itu.

Beliau berkata perampas itu, yang dikenal pasti sebagai Mahadi, 25, memiliki sepucuk pistol.

Suspek bertindak secara agresif dan enggan memberi respons kepada tawaran untuk berunding, kata Rahman.

Seorang pegawai Perhubungan Awam Antara Angkatan Tentera Darat Bangladesh memaklumkan Xinhua menerusi aplikasi mesej bahawa semua penumpang dibawa keluar dengan selamat dari penerbangan BG147.

Menurut para pegawai, penerbangan pesawat rasmi negara itu melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Shah Amanat di Chattogram, kira-kira 242km di tenggara ibu kota Dhaka, pada pukul 5.40 petang waktu tempatan (1140 GMT), beberapa jam selepas ia berlepas dari Dhaka.

Naib Marsyal Udara Muhammad Mafidur Rahman dari Angkatan Tentera Udara, yang mengetuai operasi itu, memaklumkan pemberita terdapat 142 penumpang, 5 kru kabin dan 2 juruterbang di atas pesawat jenis Boeing 737-800 tersebut.

Pengerusi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Bangladesh (CAAB) Naim Hassan berkata suspek, yang kelihatan agak tidak seimbang dari segi mental, memberitahu juruterbang bahawa dia mempunyai masalah dengan isterinya dan ingin memaklumkan perkara itu kepada perdana menteri.