Mahkamah tolak saman pengundi halang SPR kendali PRK Semenyih

Pengundi Semenyih, Sabariah Mohd Shariff memfailkan saman pemula terhadap SPR pada 11 Februari lalu. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak saman difailkan seorang pengundi berdaftar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menghalang suruhanjaya itu mengendalikan pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu pada 2 Mac ini.

Hakim, S M Komathy membuat keputusan itu di dalam kamar dengan tiada sebarang perintah kos terhadap plaintif, Sabariah Mohd Shariff, 58.

Peguam kanan persekutuan, Azizan Md Arshad yang mewakili defendan dalam kes ini berkata, mahkamah membuat keputusan itu kerana berpendapat tiada keperluan melibatkan jumlah anggota SPR yang harus hadir dalam memenuhi kuorum untuk membuat sebarang keputusan.

“Oleh itu, mahkamah memutuskan SPR masih boleh menjalankan fungsinya secara sah. Seksyen 33C Jadual ke-11 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan ketiadaan atau kekosongan sesuatu keanggotaan suruhanjaya tidak akan menjejaskan keputusan yang dibuat.”

Beliau berkata, hakim juga membuat keputusan itu setelah merujuk kes peguam negara dan Nurul Izzah Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh ketika ini, di mana hakim Mahkamah Rayuan memutuskan SPR boleh berfungsi secara sah, walaupun tidak mempunyai 7 anggota suruhanjaya.

Dalam kes ini, Azizan mewakili SPR, Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun serta kerajaan persekutuan sebagai defendan pertama, ke-2 dan ke-3. Plaintif diwakili peguam, Datuk Shaharudin Ali dan Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.

Pada 11 Februari lalu, Sabariah memfailkan saman pemula terhadap SPR bagi menghalang suruhanjaya itu mengendalikan PRK DUN Semenyih.

Sabariah dilaporkan berkata, beliau mengambil tindakan saman itu selepas timbul isu dalam media sosial berkaitan SPR, sama ada ia satu entiti sah atau tidak di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Dalam tuntutan saman pemulanya, Sabariah memohon perintah deklarasi yang entiti SPR tidak wujud dan tidak sah dan atau tidak berperlembagaan, selepas 1 Januari lalu menurut Fasal 114 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Shaharudin sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya kekal dengan pendirian pada 18 Januari lalu, SPR tidak wujud dengan hanya seorang pengerusi yang menguruskan hal rasmi suruhanjaya itu selepas timbalan pengerusi SPR dan 5 lagi anggotanya meletak jawatan berkuat kuasa 1 Januari lalu.

“Kalau kita lihat Perlembagaan negara India, ia membenarkan seorang sahaja untuk mengepalai dan menganggotai SPR, namun di Malaysia, kena ada 7 orang ahli. Kenapa kita rujuk Perlembagaan India, jika kita tidak jumpa nas undang-undang daripada negara Malaya, kita boleh merujuk keputusan mahkamah negara Komanwel serta undang-undang negara Komanwel untuk perbandingan.

“Hakim perlu ambil masa untuk mempertimbangkan hujahan kami, Fasal 114 (2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Yang di-Pertuan Agong mesti memastikan SPR boleh menimbulkan keyakinan dan kepercayaan orang awam terhadap perjalanan SPR dan kami hujahkan dengan hanya mempunyai seorang sahaja ahli, SPR tidak akan peroleh kepercayaan orang awam terhadapnya.”