Nazri pertahan ucapan kontroversi, nafi mahu hapus sekolah vernakular

Nazri Aziz berkata tuduhan rasis terhadapnya adalah helah untuk mengalihkan pandangan rakyat serta memburukkan BN memandangkan kempen PRK DUN Semenyih sedang berjalan.

KUALA LUMPUR: Nazri Aziz mempertahankan ucapan kontroversinya sewaktu berkempen membantu calon Barisan Nasional pada pilihan raya kecil DUN Semenyih, menegaskan semua pihak harus menghormati keistimewaan orang Melayu dan kaum bukan Melayu.

Setiausaha Agung BN itu berkata, tuduhan pihak tertentu menuduhnya mahu menutup sekolah vernakular adalah tidak benar kerana hak mengamalkan budaya, bahasa setiap kaum terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan hendak tutup sekolah vernakular. Ia cubaan memberikan cerita tidak benar kerana saya mempunyai rekod mempertahankan hak minoriti termasuk sekolah vernakular. Dalam ucapan, saya nyatakan semua rakyat Malaysia mempunyai hak istimewa.

“Bumiputera sudah tentu mempunyai sekolah kebangsaan, Islam sebagai agama persekutuan, institusi tanah rizab Melayu, kuota perkhidmatan awam dan pembahagian ekonomi dalam negara. Jadi jangan fikir Bumiputera sahaja mempunyai hak.

“Bukan Bumiputera juga ada hak mereka iaitu hak kewarganegaraan mereka tidak boleh dipertikaikan, tidak ada sesiapa boleh arah mereka kembali ke tempat asal, kita juga berjanji beri perlindungan dari sudut budaya, bahasa dan mempertahankan institusi pendidikan,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Nazri berkata, tuduhan itu adalah helah untuk mengalihkan pandangan rakyat serta memburukkan BN memandangkan kempen PRK DUN Semenyih sedang berjalan.

Jelasnya, beliau bukanlah pemimpin politik baru yang asyik melatah dengan mengeluarkan kenyataan kontroversi, sebaliknya menyedari kesan dan akibat dari setiap patah perkataannya.

“Sebagai peguam dan bekas menteri saya tahu apa yang saya katakan iaitu tidak boleh menampakkan rasisme, bercakap hanya mengenai fakta. Takkanlah saya hendak cakap isu rasis sedangkan saya tahu ada kamera video di hadapan,” katanya.

Beliau juga mengakui sudah dipanggil polis pagi tadi untuk memberikan keterangan dan penjelasan berhubung ucapannya itu.

Dalam ucapannya, beliau dilaporkan membangkitkan rasa tidak puas hati rakyat di peringkat akar umbi mengenai cara peguam negara menguruskan isu membabitkan kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang dipukul dalam rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya.

Nazri juga mengkritik peranan MCA dalam membantu calon BN DUN Semenyih. Baginya, beliau tidak nampak kelibat pemimpin MCA mengenakan baju BN sewaktu minggu berkempen.

“Mereka tidak memakai baju biru, ia sejak PRK DUN Balakong. Jadi saya lihat secara konstruktifnya mereka bukan BN. Saya sendiri tidak kisah mengenai mereka, saya juga tahu ada parti komponen lain dalam BN yang berkempen bersama kami.

“Saya sendiri tidak tahu mengenai status mereka dalam BN, mereka tidak seperti Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Parti Bersatu Rakyat Sabah, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu dan lain-lain yang keluar BN. Saya rasa MCA perlu beri penjelasan,” katanya.

Bukan itu sahaja, Nazri turut menyokong hasrat Pemuda Umno yang mahu berhimpun sekiranya isu membabitkan individu menghina Nabi Muhammad di media sosial tidak ditangani dan dijelaskan secara terperinci.

“Saya setuju (Pemuda Umno mahu berhimpun), cumanya kena minta permit dan saya sendiri sokong. Benda seperti ini memang mendatangkan rasa tidak puas hati rakyat majoriti beragama Islam, ia menghina kepercayaan mereka.

“Kalau hina polis kena penjara selama 6 bulan tetapi kalau hina nabi, dilepaskan dengan jaminan polis pula. Mungkin ada sebab-sebab teknikal tetapi saya juga mahu tahu sebabnya,” katanya.