NGO saran kerajaan larang kanak-kanak tak divaksin ke sekolah

Azizi Ayob berkata, undang-undang perlu digubal supaya ibu bapa patuh kepada jadual imunusasi untuk mencapai matlamat 95% komuniti divaksin. (Gambar Fail)

KUALA LUMPUR: Penggiat industri kesihatan mencadangkan kerajaan melarang kanak-kanak yang tidak mendapat suntikan imunisasi ke sekolah, susulan kes difteria di Johor akibat tidak mengambil vaksin.

Saranan itu antara gesaan Presiden Persatuan Doktor Islam Malaysia, Dr Ahmad Shukri Ismail berikutan rancangan Kementerian Kesihatan membentangkan cadangan dan dasar untuk mewajibkan suntikan vaksin.

Katanya, sudah sampai masa suntikan vaksin diwajibkan sebelum kanak-kanak memasuki alam persekolahan kerana ia membabitkan kematian dan boleh menjadi epidemik jika tidak ditangani dengan baik.

“Suntikan vaksin imunisasi ini perlu mandatori. Ia melibatkan kematian dan ia perkara serius kerana penyakit seperti difteria boleh berjangkit jika tersebar,” katanya kepada Bernama.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad semalam, berhubung cadangan dan dasar mewajibkan suntikan vaksin.

Beliau berkata, kementeriannya menerima “desakan” kuat pelbagai pihak supaya kerajaan mempertimbangkan imunisasi vaksin diwajibkan berikutan keengganan ibu bapa berbuat demikian sehingga menyebabkan kematian berlaku.

Ketika ini, tidak menjadi satu kewajiban atau mandatori kepada kanak-kanak untuk divaksinkan sebelum dibenarkan memasuki sesi persekolahan dan terpulang kepada pihak sekolah untuk melakukan pemeriksaan atau pengesahan lanjut.

Mengulas perkara ini, Shukri berkata, jika ibu bapa masih berdegil dan ingin terus menghantar anak ke sekolah walaupun tanpa pengambilan suntikan vaksin, pihak sekolah boleh mengeluarkan surat kebenaran supaya pusat kesihatan memberi vaksin kepada anak mereka.

“Ia melibatkan kebenaran ibu bapa, jika tidak, anak mereka akan menyebarkan pelbagai penyakit kerana tidak divaksin sebelum ini. Jika masih tidak mahu memberi kebenaran, maka pihak sekolah tidak akan bertanggungjawab jika ada kematian melibatkan mana-mana pihak.”

Sementara itu, Timbalan Presiden I-MEDIK Malaysia, Dr Azizi Ayob berkata, cadangan mewajibkan kanak-kanak mengemukakan rekod imunisasi adalah baik kerana ia boleh mengelakkan mereka menjadi ejen penyebar penyakit yang boleh dicegah.

Malah, penulis buku “Vaksin: Antara Babi, Yahudi & Konspirasi” itu berkata, sesetengah sekolah swasta mewajibkan kriteria itu, tetapi ia tidak lagi dipraktikkan sekolah kerajaan.

Beliau berkata, terdapat keperluan mewujudkan undang-undang supaya ibu bapa patuh kepada jadual imunusasi di negara ini supaya “herd imunusation”, iaitu 95% komuniti divaksin dapat dicapai.

“Kita tidak boleh melarang kumpulan anti-vaksin kerana tiada akta melarang. Kebanyakan mereka berkomunikasi menerusi media sosial. Apa yang boleh dilakukan ialah mewujudkan kesedaran mengenai pentingnya suntikan vaksin.”

Pengarah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin pula berkata, tindakan ibu bapa yang terdiri daripada kumpulan anti-vaksin mempercayai maklumat di internet berbanding pihak yang layak memberi maklumat mengenai vaksin hanya akan membahayakan masyarakat.

“Jika kita benarkan terlalu ramai individu tidak mengambil vaksin, itu bermakna kita membenarkan penyakit terus berjangkit. Apabila kumpulan anti-vaksin ini menjadi besar, mereka mempengaruhi inidividu lain sedangkan mereka tiada kredibiliti untuk memberi penerangan mengenai perkara itu.”

Lima lagi kanak-kanak dilaporkan disyaki positif difteria dan kini ditahan di wad isolasi pediatrik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru.

Semua kanak-kanak itu, termasuk 3 perempuan berusia bawah 4 tahun, dikesan positif jangkitan difteria susulan saringan terhadap 52 individu oleh Jabatan Kesihatan negeri.

Seorang daripada mangsa yang positif adalah kakak kepada budak lelaki berusia 2 tahun 1 bulan yang meninggal dunia disyaki akibat difteria, Selasa lalu.