Pembantu menteri Sabah nafi kritik Dr M

Tangkap layar catatan Facebook yang Kenny Chua nafi muat naik ke Facebooknya.

KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Kenny Chua menafikan beliau memuat naik satu catatan di Facebook untuk mengkritik Perdana Menteri dan Pengerusi PPBM, Dr Mahathir Mohamad.

Adun Inanam dan ketua PKR Penampang itu sebaliknya mendakwa sebuah portal berita tempatan mendalangi tindakan itu.

“Kenapa saya hendak buat demikian? Saya bukannya gila. Portal itu memutar belit cerita itu untuk menganiaya saya. Saya tidak pernah memuat naik status itu di laman Facebook saya,” katanya kepada FMT hari ini.

Kenny Chua

Chua mengulangi sokongannya kepada kerajaan negeri sedia ada dan bertegas orang Sabah tidak boleh berdepan falsafah “pecah dan perintah” pemimpin tertentu.

Walaupun kecewa dengan keputusan PPBM melebarkan sayap ke Sabah, katanya, parti itu mempunyai hak berbuat demikian.

“Bagaimanapun, saya berharap ia tidak akan menerima bekas pemimpin Umno. Itu ialah ‘point’ dalam bantahan awal kami.”

Tangkap layar catatan Facebook yang dikaitkan dengan Chua itu tersebar di media sosial dan dikritik netizen, khasnya bekas penyokong Umno dan ahli PPBM berpotensi.

Sejak Mahathir mengumumkan PPBM akan mengembangkan sayap ke Sabah pada 15 Februari lalu, penyokong Warisan dan sekutu mereka mengkriitk perdana menteri serta menggesa Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Warisan, Shafie Apdal mempertahankan pendiriannya dengan tidak membenarkan PPBM memasuki Sabah.

Bagaimanapun, Shafie pada 18 Februari lalu dilaporkan berkata, Warisan tidak boleh menghalang kemasukan PPBM ke Sabah dan menasihatkan penyokongnya bertenang.