PH perlu cari formula yakinkan rakyat, menang PRU15

Sudah masuk 9 bulan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara daripada kerajaan pimpinan Barisan Nasional. Walaupun mendapat majoriti mudah di Parlimen, namun ianya sudah cukup untuk membentuk sebuah kerajaan.

Setiap rakyat yang mengundi PH sudah pasti mempunyai harapan begitu besar untuk melihat kerajaan yang dibentuk lebih baik daripada sebelumnya.

Tahniah juga diucapkan kepada barisan kepimpinan PH yang menggunakan pelbagai formula ajaib untuk mendapatkan sokongan rakyat. Pelbagai formula digunakan, termasuk menjadikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi PH, memperkenalkan pelbagai manifesto dan menggunakan pelbagai isu untuk menarik sokongan rakyat.

Itu adalah situasi sebelum membentuk kerajaan. Sekarang ini, nampaknya PH berdepan cabaran besar mentadbir urus negara. Jika ingin terus kekal sebagai parti pemerintah bagi 5 tahun akan datang, PH perlu menyusun dan merangka formula baru.

Menangani kos sara hidup

Walaupun sudah mentadbir negara lebih 9 bulan, kerajaan ketika ini boleh dikatakan masih gagal dalam usaha menangani kos sara hidup rakyat, kadar pengangguran masih tinggi, negara masih bergantung kepada tenaga kerja asing, harga barang masih mahal dan rakyat mengharapkan bantuan kerajaan.

Jika ingin terus kekal sebagai kerajaan untuk 5 tahun akan datang, kerajaan PH harus mencari formula baru untuk menangani kos sara hidup rakyat.

Jika masalah ini tidak dapat ditangani segera, jangan terperanjat kerajaan PH ketika ini akan dijatuhkan “kuasa rakyat” pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti.

Mengembalikan kepercayaan rakyat

Persepsi rakyat terhadap kerajaan PH, terutamanya di media sosial jauh berbeza dengan 9 bulan lalu. Rata-rata rakyat Malaysia mula mengeluh dengan kerajaan baru.

Ini kerana beberapa isu nasional seperti manifesto belum dipenuhi, kes kematian anggota bomba yang belum selesai, harga petrol masih mahal, kos sara hidup meningkat tetapi pendapatan rakyat masih di tahap sama dan bermacam isu nasional yang menjadi perbualan harian masyarakat.

Kerajaan berdepan tugas berat untuk mengembalikan kepercayaan dan harapan rakyat. Jika isu ini gagal ditangani segera, kerajaan PH berkemungkinan besar hanya mampu bertahan selama satu penggal.

Menstabilkan ekonomi

Ekonomi Malaysia diunjurkan stabil, tetapi beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan ringgit merosot melebihi paras RM4 berbanding dolar Amerika Syarikat. Situasi ini ternyata tidak menyenangkan banyak pihak, termasuklah pelabur dalam pelbagai industri di Malaysia.

Oleh itu, ini juga menjadi tugas mencabar kepada kerajaan ketika ini dalam menyusun dan merangka formula terbaik untuk memulihkan ekonomi negara.

Rakyat Malaysia selaku pengundi dan pembentuk kerajaan sentiasa memerhati setiap usaha menteri Kabinet. Jika ekonomi berjaya dipulihkan, sudah pasti rakyat terus memberi kepercayaan kepada PH untuk memimpin negara pada masa akan datang.

Perkukuh hubungan ahli PH

Ada misi lebih besar dalam PH sendiri, iaitu memperkukuh hubungan dalam kalangan parti komponen. Jika hubungan baik dalam kalangan parti komponen yang terdiri daripada PKR, PPBM, DAP dan Amanah terus terpelihara, maka tugas mentadbir urus negara menjadi lebih mudah.

Jika berlaku sebarang perbezaan pendapat, pimpinan tertinggi PH, terutamanya Majlis Presiden perlu bijak menangani isu berbangkit dengan sebaiknya.

Perlu diingatkan, PH hanya mendapat majoriti mudah di Parlimen dan segala kelemahan serta kelompongan dalam kepimpinan mudah dihidu pembangkang.

Misi menang PRU15

Dalam kesibukan mentadbir urus negara, perlu diingatkan PH mempunyai misi lebih besar, iaitu memenangi PRU15. Oleh itu, barisan kepimpinan PH perlu merangka formula baru bagi memastikan kemenangan berterusan pada masa akan datang.

PRU15 tidak lama lagi. Boleh jadi 4 tahun lagi atau lebih awal. Oleh itu, kebijaksanaan barisan kepimpinan PH diperlukan untuk merangka strategi baru, terutamanya berdepan pasukan pembangkang yang kini dilihat mula menunjukkan “taring” mereka.

Syahmi Minhad ialah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.