PH tak paksa tok batin baca ucapan sokong calon, kata Muhyiddin

Aleh Abdullah (2 dari kiri) bersama Muhyiddin Yassin (tengah) dan pimpinan PH di satu majlis di Semenyih petang tadi.

SEMENYIH: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Pakatan Harapan (PH) tidak memaksa Tok Batin Kampung Sungai Lalang Baru, Aleh Abdullah membaca teks ucapan menyokong calon Pakatan Harapan (PH).

Presiden PPBM berkata, Aleh berhak menggunakan teks ucapan tersebut, yang dikatakan dikarang oleh seorang bekas pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

“Tak ada paksaan. Itu terserah kepada dia nak baca teks ucapan. Itu hak dia,” katanya kepada pemberita di satu majlis bersama warga Semenyih malam tadi.

Terdahulu, Aleh ketika ditemui pemberita selepas program penduduk Kampung Sungai Lalang Baru bersama Muhyiddin dan pemimpin Amanah, Hanipa Maidin berkata teks ucapannya di majlis itu dikarang dengan bantuan “Cik Dollah”.

Tok batin ini ditemui pemberita kerana dilihat begitu bersemangat menyatakan sokongan kepada calon PH, Muhammad Aiman Zainali dan kerajaan semasa berucap kepada kira-kira 50 Orang Asli.

Aleh tidak mengiyakan pertanyaan pemberita ketika ditanya sama ada dia disuruh membacakan ucapan itu.

“Dia tulis dan saya ikut,” katanya.

Aleh turut memaklumkan pemberita tentang satu jamuan makan-makan untuk orang kampungnya pada Selasa. Dianjurkan oleh PH, acara itu nanti juga akan ada karaoke dan pemberian hamper, katanya.

Tok batin itu mengakui berasa serba salah kerana acara itu melibatkan pemberian hamper.

Ditanya mengenai perkara itu, Muhyiddin berkata ia belum berlaku lagi.

“Belum berlaku lagi. Itu andaian,” katanya.