‘TH kekal di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri’

Pejabat Perdana Menteri berkata, TH juga berada di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia.

PUTRAJAYA: Lembaga Tabung Haji kekal di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri, kata Pejabat Perdana Menteri yang turut menegaskan dakwaan TH dipindahkan kepada Kementerian Kewangan adalah palsu dan tidak berasas sama sekali.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, bidang kuasa TH didakwa dipindahkan daripada JPM kepada Kementerian Kewangan susulan keputusan Kabinet memindahkan aset tidak menguntungkan TH kepada syarikat tujuan khas (SPV) milik kerajaan.

“TH kekal di bawah bidang kuasa JPM dan perkara ini tidak berubah dengan pengenalan SPV seperti yang dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet,” kata Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemindahan aset kepada SPV ialah sebahagian usaha mengembalikan keadaan kewangan TH kepada normal dan mempercepatkan pemulihan kewangan institusi itu yang dipalit isu salah laku.

Katanya, TH juga diletakkan di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia.

Pejabat Perdana Menteri berkata, BNM sebagai badan bebas dan di bawah pimpinan Gabenor, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, mengawal selia semua bank dan institusi kewangan di negara ini, termasuk institusi kewangan Islam.