Tiada jaminan kerajaan, harapan Orang Asli Gerik temui jalan buntu

Pengerusi Jaringan Kampung Tasik Asal Cunex Hulu, Pam Yeek berkata, lawatan menteri ke perkampungan mereka pada 18 Februari lebih merupakan sesi mendengar permasalahan yang dihadapi masyarakat di situ.

GERIK: Harapan masyarakat Orang Asli di Gerik untuk memiliki “tanah adat: menemui jalan buntu dan kerajaan tidak memberikan apa-apa jaminan walaupun perjumpaan dengan Menteri Perpaduan, P Waytha Moorthy, agensi kerajaan, termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Jabatan Perhutanan Perak telah diadakan.

Pengerusi Jaringan Kampung Tasik Asal Cunex Hulu, Pam Yeek berkata, lawatan menteri berkenaan ke perkampungan mereka pada 18 Februari lepas lebih merupakan sesi mendengar permasalahan yang dihadapi masyarakat Orang Asli di situ.

“Menteri datang tanya apa yang kami mahu. Mereka kata beri masa kepada mereka untuk balik berbincang dengan menteri yang lain dan minta tunggu 3 hari.

“Tetapi sehingga kini tidak ada sebarang jaminan kepada kami tentang nasib dan tuntutan tanah adat kami,” katanya, merujuk kepada 6 kampung Orang Asli yang tidak diiktiraf pihak kerajaan, iaitu Kampung Cenaweng, Kampung Cunex, Kampung Jemol, Kampung Laba, Kampung Sungai Leyep dan Kampung Kewa yang didakwa wujud sejak 1978.

Pam berkata, masyarakat Orang Asli tidak mengharapkan apa-apa habuan atau ganjaran daripada kerajaan, termasuk wang ringgit sebaliknya hanya mahu tuntutan “tanah adat” mereka ditunaikan.

“Kami tidak mahu wang ringgit. Kita tidak minta ganti rugi apa-apa. Beri duit berjuta-juta pun kita tidak mahu. Kami hanya mahu ‘tanah adat’ kami. Kami mahu kerajaan iktiraf kami. Itu sahaja,

“Kami harap kerajaan negeri hentikan pembalakan di kawasan ‘tanah adat’ kami. Kami harap kerajaan dengar suara kami,” katanya kepada media ketika lawatan bersama Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) ke perkampungan Orang Asli di situ.

Pendirian Pam disokong seorang lagi penduduk Kampung Cunex, Sinar Akek.

Penduduk Orang Asli akan meneruskan ‘blockade’ sehingga penyelesaian dicapai.

“Kami tidak mahu wang ringgit. Kami tidak mahu pasar raya, kami mahu ‘tanah adat’ kami. Kami bantah pembalakan sebab hutan ini adalah kawasan binatang. Kawasan penggunaan kami sebagai Orang Asli. Hutan itulah pasar raya dan klinik kami. Herba-herba kesihatan semua datang dari hutan,” katanya.

Pam mendakwa, terdapat kira-kira 20 pekerja syarikat konsensi balak dengan keluasan 80 hektar di Hutan Simpan Air Chepam (HSAC), Hulu Perak, yang menjalankan kerja-kerja pembalakan di “tanah adat” Orang Asli di situ sejak 15 Januari lalu.

Katanya, kayu balak yang ditebang berusia lebih 20 tahun dan ini tidak termasuk pokok kecil yang turut musnah.

“Pembalakan bukan sahaja menjejaskan sumber penghasilan kami, malah air sungai juga menjadi keruh dan berkelodak di 2 kawasan tadahan utama di Kampung Saruk dan Kampung Urat yang menjejaskan sumber air bersih penduduk di situ.

“Pada 10 Januari, kita menghantar surat bantahan kepada kerajaan negeri Perak dan Menteri Besar, Ahmad Faizal, namun tidak ada tindakan.

“Sehingga kini tidak ada wakil kerajaan negeri, termasuk
menteri besar, yang turun ke kawasan kami,” katanya sambil memberitahu mereka akan terus mengadakan sekatan ke atas laluan pembalak sehingga tuntutan mereka ditunaikan.

Pam juga berkata, masyarakat Orang Asli di situ tidak pernah dibayar oleh mana-mana pihak supaya menentang kerajaan.

“Kita buat sekatan bukan atas desakan mana-mana pihak. Kita buat atas kerelaan sendiri bagi mempertahankan ‘tanah adat’. Kita akan teruskan (blockade) biar kayu balak yang ditebang mereput jika penyelesaian tidak dapat dicapai,” katanya.

Seorang lagi penduduk yang juga ahli jawatankuasa JOAS berkata, lebih 800 Orang Asli suku Temiar melibatkan 6 kawasan kampung itu sebulat suara mahu kerajaan negeri Perak mengembalikan hak mereka untuk tinggal di perkampungan asal mereka.