Tiada pembekuan ke atas projek hartanah baru di KL, kata menteri

Khalid Samad berkata, langkah mengehadkan saiz projek baru kepada nisbah plot 10 tidak diterima baik pemaju yang didakwa mahukan bangunan lebih tinggi.

BANGI: Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata, tiada moratorium ke atas projek hartanah baru di Kuala Lumpur, tetapi saiz projek baru dihadkan kepada nisbah plot 10 berdasarkan Pelan Struktur dan Tempatan Kuala Lumpur.

“Buat masa ini, nisbah plot ditetapkan kepada maksimum 10, kecuali bagi kes sangat khusus.

“Kita tidak mahu membenarkan terlalu banyak bangunan disebabkan (hartanah) berlebihan,” katanya di sebuah persidangan antarabangsa mengenai pembangunan Kuala Lumpur dan Putrajaya, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, langkah itu tidak diterima baik pemaju yang didakwa mahu bangunan lebih tinggi.

Beliau berkata, terdapat kekurangan rumah mampu milik dan keperluan mendapatkan pinjaman untuk membeli rumah itu.

Mengenai projek hartanah baru yang sudah diluluskan secara dasarnya, Khalid berkata, ia akan dikaji semula atas dasar “khas” memandangkan ia sudah diluluskan.

Media melaporkan projek hartanah dengan nisbah plot lebih tinggi daripada dibenarkan di bawah Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020, yang diluluskan secara dasar dahulu, dikehendaki mendapatkan kelulusan baru daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

DBKL berkata, syarat itu terpakai kepada semua jenis pembangunan di ibu kota, termasuk komersial dan kediaman.