Adakah PAS bayar RM1 juta kepada editor Sarawak Report, soal Anwar

GEORGE TOWN: Presiden PKR, Anwar Ibrahim mencabar PAS menyatakan jika ia membayar wang kepada Clare Rewcastle-Brown untuk penyelesaian di luar mahkamah kes saman fitnah difailkan Abdul Hadi Awang berhubung dakwaan penerimaan RM90 juta daripada Umno.

“Apakah ada bayaran yang diberi kepada Clare daripada PAS? Lebih daripada sejuta?Boleh tak sahkan?

“Saya tak mahu (bercakap) panjang, saya selama ini tak pernah ulas,” katanya di luar sebuah program di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, banyak “kekeliruan” timbul selepas PAS mengumumkan ia memenangi kes itu, tetapi Hadi kemudiannya menarik balik saman terhadap editor Sarawak Report itu.

“…saya lihat percanggahan kenyataan, termasuklah boleh bohong…saya sukar terima sebagai Muslim.”

Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April 2017 berhubung laporan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 yang mendakwa dana RM90 juta dimasukkan ke akaun pimpinan PAS sebagai usaha menarik sokongan parti itu menyokong Barisan Nasional dan Umno.

Pada 1 Mei 2018, peguam mewakili PAS, Wan Rohimi Wan Daud dilaporkan berkata, Hadi memenangi semua 5 permohonan interlokutori dalam kes saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown.

Hadi kemudiannya menarik balik saman itu awal bulan ini.

Kelmarin, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengesahkan hasil siasatan tidak menemui sebarang kemasukan dana 1MDB sebanyak RM90 juta ke akaun PAS.

Hari ini, Anwar menggesa SPRM memberi laporan penuh berhubung siasatan ke atas RM90 juta yang didakwa diberikan kepada pemimpin PAS.

Sementara itu, Anwar mengkritik pihak yang menentang pelantikan orang bukan Islam bagi jawatan penting kerajaan.

Katanya, agama dan kaum tidak patut dijadikan isu dalam pelantikan sedemikian.

Ia susulan kenyataan kontroversi Setiausaha Agung Barisan Nasional, Nazri Aziz yang mempertikaikan pelantikan ketua hakim, peguam negara dan menteri kewangan bukan Islam kerana mereka tidak boleh mengangkat sumpah jawatan dengan al-Quran.

“Saya rasa kita perlu berhati-hati dengan apa yang kita cakap kerana di barat, orang Kristian mengangkat sumpah dengan Bible, orang Islam mengangkat sumpah dengan al-Quran.”

“Saya rasa tidak patut ada konotasi kaum di sini, sudah tentu ada kebimbangan di kalangan orang Melayu yang kita boleh atasi.”