Adib selalu minta ibu bapa, tunang berjumpanya, kata pembantu

Ashraf Baruji sebak mengimbau perbualan dan gelagat Muhamad Adib Mohd Kassim sepanjang 21 hari beliau menjaganya di ICU IJN.

SHAH ALAM: Muhammad Adib Mohd Kassim kerap meminta ibu bapa dan tunang menemuinya ketika beliau pulih seketika daripada kecederaan parah dalam keganasan di luar Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, pada 27 November lalu, kata seorang kakitangan Institut Jantung Negara.

Prosiding inkues terpaksa dihentikan 10 minit apabila pembantu pegawai pembedahan, Ashraf Baruji yang menjaga Adib sepanjang 21 hari beliau dirawat di IJN, beberapa kali sebak ketika memberi keterangan.

“Dia tulis nama mak, ayah, tunang. Tanda dia nak jumpa.

“Yang paling terkesan dia tulis nak minum air buah. Saya cakap semoga cepat sihat, lepas sihat Ashraf orang pertama belikan air buah dekat bawah untuk Adib,” katanya ketika ditanya pegawai pengendali inkues menentukan punca kematian Adib, Hamdan Hamzah, hari ini.

Saksi ke-16 inkues itu berkata, beliau sering berbual dengan Adib dan tidak putus-putus memberi semangat kepadanya untuk meneruskan rawatan sehingga pulih serta menenangkannya daripada mencabut tiub di badannya akibat kesakitan.

“Saya memberikan Adib semangat ketika di ICU untuk dia teruskan dan habiskan fisioterapinya. Ada kalanya saya dan Adib bertukar cerita.

“Saya ada bertanyakan Adib berkenaan keluarganya, tunangnya, kerjanya dan skop kerja di unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan. Ketika komunikasi kami berlaku, dia boleh memberikan jawapan yang rasional kepada soalan saya.”

Katanya, beliau juga sempat menemani Adib menonton perlawanan bola sepak di televisyen.

“Kami sempat menonton perlawanan bola sepak, tidak pasti pasukan apa (Malaysia lawan), tapi Adib semangat menonton bola.

“Adib angkat tangan kiri masa ada pasukan yang dapat jaringkan bola.

“Lepas itu saya cakap…lepas ni boleh buat fisio lagi,” katanya mengenang gurauannya bersama Adib.

Bagaimanapun, mereka berdua berhenti berbual apabila keadaan Adib bertukar kritikal pada 14 Disember lalu.

Katanya, kali terakhir beliau berkhidmat untuk Adib ialah memindahkan jenazahnya dari pengusung IJN ke pengusung unit forensik.

Katanya, 5 hari selepas pemergian Adib, Ashraf pergi ke Kedah untuk menziarahi kubur dan keluarga bekas pesakitnya itu.