Adib tarik lengan baju, beritahu ditarik, dipukul, kata pembantu di IJN

Ashraf Baruji, saksi ke-16 dalam inkues kematian Adib, berkata mangsa menggeleng ketika ditanya adakah dia jatuh.

SHAH ALAM: Muhammad Adib Mohd Kassim, sempat mendedahkan kepada seorang kakitangan Institut Jantung Negara bahawa dia ditarik dan dipukul ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Saksi ke-16, Ashraf Baruji, seorang pembantu pegawai pembedahan yang menjaga Adib berkata, anggota bomba itu pada mulanya enggan memberitahu apa yang berlaku pada dirinya ketika itu.

“Pada satu malam selepas fisioterapi, apabila saya sedang kemaskan Adib untuk tidur, saya tanya satu soalan, ‘Adib ingat apa yang berlaku?’.

“Pada mulanya Adib geleng kepala, kemudian saya cakap ‘tidak mengapa bila sudah sedia nak cakap beritahu saya’. Bila saya pusing belakang untuk beredar, Adib tarik lengan baju saya, Adib angguk, dia beri isyarat nak menulis.

“Saya kemudian beri papan putih pada Adib. Saya tanya pada Adib, ‘Adib kena tarik?’. Kemudian dia guna tangan kiri tunjuk isyarat (tarik).

“Kemudian saya tanya lagi, ‘Adib jatuh?’, dia geleng. Saya tanya lagi, ‘Adib kena pukul?’, dia angguk,” katanya kepada pegawai pengendali inkues, Hamdan Hamzan pada hari ke-10 inkues kematian Adib di Mahkamah Koroner Shah Alam.

Ashraf mendakwa dia individu paling rapat dengan Adib sepanjang 21 hari anggota bomba itu dirawat di IJN.
Beliau berkata pertanyaan itu dibuat secara spontan. Dia turut memberitahu inkues bahawa Adib hanya sedar semasa di IJN.

“Saya tanya Adib, ‘dia sedar masa dimana?’, Adib guna tangan kiri tunjuk isyarat ke bawah (IJN),” katanya.

Ashraf memaklumkan sepanjang perbualan itu, Adib menjawab setiap pertanyaan dengan baik.

Beliau kemudian memaklumkan maklumat itu kepada ketua pasukan rawatan “Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO)”, Perunding Kanan Pakar Bedah Kardiotorasik, Datuk Dr Mohamed Ezani Md Taib.

“Saya tidak ingat bila tarikh tepat, seingat saya, beritahu Dr Izani pada hari Krismas atau selepas hari Krismas,” katanya.

Maklumat sama juga diberitahu kepada pegawai penyiasat polis ketika dipanggil memberi keterangan.

Adib, seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadam kenderaan-kenderaan yang terbakar dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman pada 27 November tahun lalu.

Pasukan bomba bagaimanapun terpaksa menyelamatkan diri apabila berhadapan perusuh, dan Adib dilapor mengalami kecederaan dalam rusuhan itu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Adib menghembuskan nafas terakhir di IJN pada 17 Disember lalu.