Ahli Parlimen DAP bidas bekas diplomat Singapura dakwa PH gagal

Charles Santiago menyifatkan Bilahari Kausikan berfikiran cetek kerana tidak memahami artikel satira mengenai politik Malaysia.

PETALING JAYA: Seorang ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) hari ini membidas seorang bekas diplomat Singapura yang mendakwa Putrajaya cuba menggunakan republik itu untuk mengalihkan perhatian daripada ketidakstabilan politik di Malaysia.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata kenyataan Bilahari Kausikan dalam syarahan di Universiti Kebangsaan Singapura minggu lalu menunjukkan “kemahiran analisis ceteknya” dan ini jelas kelihatan apabila bekas diplomat itu mengambil serius satu artikel satira mengenai politik Malaysia.

“Beliau berkongsi sebuah artikel oleh laman berita parodi, The Tapir Times, yang mendakwa parti Dr Mahathir, PPBM berikrar hanya akan menerima ahli Parlimen Umno yang mempunyai kurang daripada 10 pertuduhan jenayah belum selesai.

“Jika Kausikan tidak boleh memahami parodi daripada laman web troll ‘self-identified’, saya hairan bagaimana beliau memahami politik serantau.”

Kausikan yang merupakan setiausaha tetap Kementerian Luar Singapura dan masih dilihat berpengaruh dalam dasar luar negara itu, antara lain berkata kerajaan PH tidak stabil dan memerlukan Singapura untuk dijadikan “kambing hitam”.

Kausikan berkata, kerajaan berusia 9 bulan yang diketuai Dr Mahathir Mohamad gagal dan sokongan orang Melayu semakin berkurangan.

Santiago berkata, kenyataan itu bukan saja “tidak sesuai untuk seorang diplomat lama”, tetapi juga “melucukan” dan bertujuan mendapatkan publisiti bagi dirinya.

Beliau mengakui gabungan parti pemerintah berdepan “masalah pada peringkat awal”, tetapi “kami tentunya tidak gagal”.

“Kerajaan baru menerima pendapat berbeza dan mengalu-alukan rakyat menyuarakan pandangan bertentangan.

“Kita tidak boleh menafikan terdapat ruang demokratik di Malaysia,” katanya sambil mempersoalkan jika keadaan sama berlaku di Singapura.