Bekas pengurus Goldman tarik balik rayuan berhubung ikat jamin

Roger Ng berdepan 3 pertuduhan jenayah berkaitan 1MDB di AS.

PUTRAJAYA: Bekas ahli perbankan Goldman Sachs, Roger Ng menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan ikat jamin yang difailkan sementara menunggu prosiding ekstradisi ke Amerika Syarikat untuk berdepan 3 pertuduhan jenayah berkaitan 1MDB.

Panel 3 hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Kamardin Hashim, Rhodzariah Bujang dan Mohamad Zabidin Mohd Diah kemudiannya membatalkan rayuan berkenaan.

Peguam Ng, Tan Hock Chuan sebelum itu memaklumkan mahkamah Ng mengetepikan prosiding ekstradisi selepas bersetuju untuk pulang ke AS di Mahkamah Sesyen pada 15 Feb lepas, mengikut persetujuan yang dicapai dengan Jabatan Kehakiman AS (DoJ).

Beliau berkata Ng berhasrat untuk membela diri dalam kes itu atas merit di mahkamah di daerah timur New York.

Tan berkata atas alasan berkenaan, anak guamnya menarik balik rayuan berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya Nik Syahril Nik Ab Rahman memberitahu mahkamah, beliau tidak membantah penarikan balik rayuan oleh Ng, atau nama sebenarnya Ng Chong Hwa, 47.

Pada 23 Okt tahun lepas, pendakwaan menerima permohonan daripada kerajaan AS bagi waran tangkap sementara terhadap Ng.

Pada November tahun lepas, Ng ditahan polis dan kemudiannya direman selama 60 hari sementara menunggu pendengaran permohonan kerajaan untuk mengekstradisi Ng ke As untuk berdepan 3 pertuduhan jenayah berkaitan 1MDB.

Ng memfailkan permohonan untuk dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu pendengaran prosiding ekstradisinya itu tetapi permohonannya ditolak Mahkamah Tinggi pada 13 Dis tahun lepas.

Pada 15 Feb lepas, Ng bersetuju untuk diekstradisi AS bagi menghadapi 3 pertuduhan jenayah dan memohon kepada Mahkamah Sesyen untuk mengetepikan prosiding ekstradisi terhadapnya.

Pada 19 Dis 2018, Ng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 4 tuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs berhubung penjualan Nota-Nota Terjamin anak syarikat 1MDB berjumlah AS$6.5 bilion dengan meninggalkan fakta material dan membuat pernyataan tidak benar.