Doktor larang Adib layari internet, elak baca berita negatif berkaitan diri

Suneta Sulaiman berkata, tahap kesihatan Muhammad Adib Mohd Kassim bertambah buruk mulai hari ke-14 rawatan dan keadaannya menjadi kritikal 3 hari kemudian.

SHAH ALAM: Doktor yang merawat Muhammad Adib Mohd Kassim memberitahu Mahkamah Koroner yang anggota bomba itu meminta kebenaran untuk menggunakan telefon bimbitnya, tetapi mereka meletakkan syarat kepadanya.

“Dia menulis di papan putih nak guna telefon dan buat bahasa isyarat,” kata Ketua unit rawatan rapi di Institut Jantung Negara, Dr Suneta Sulaiman menjawab pertanyaan pegawai pengendali, Zafran Hamzan, pada hari ke-10 inkues menentukan punca kematian Adib.

“Saya beritahu dia boleh guna telefon untuk berkomunikasi dengan ahli keluarga terdekat seperti ibu bapanya, adik-beradik dan tunangnya.

“…saya nasihatkan dia tidak melihat internet terlalu banyak sebab saya beritahu dia banyak berita tentang kejadian yang berlaku dan bagaimana (dia) berada di hospital.”

Suneta berkata, tahap kesihatan Adib bertambah buruk mulai hari ke-14 rawatan kerana abdomennya bengkak dan keadaannya menjadi kritikal pada hari ke-17.

“Dia kelihatan lesu dan bernafas lebih. Gas dalam darahnya menunjukkan asidosis yang bermaksud tahap karbon dioksida dalam darah tinggi.

“Abdomennya juga mula membesar, dia tidak memberi respons kepada ‘nasalgastro’, iaitu tiub yang digunakan untuk menyalur makanan kepadanya.”

Anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya itu, parah dalam rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Adib meninggal dunia 3 minggu selepas dirawat di IJN, pada 17 Disember lalu.