Kementah buat laporan polis berhubung surat palsu perolehan kontrak

Rafizal Ali bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan polis berhubung 2 surat palsu berkaitan perolehan kontrak Kementah, di Balai Polis Wangsa Maju.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan hari ini membuat laporan polis berhubung 2 surat palsu berkaitan perolehan kontrak di kementerian itu.

Pegawai Tugas-Tugas Khas 2 Menteri Pertahanan, Rafizal Ali berkata, laporan itu dibuat bagi mengelakkan sebarang kesan tidak baik akibat penyalahgunaan nama menteri, pejabat menteri dan kementerian.

Menurutnya, surat palsu pertama bertarikh 9 Disember tahun lalu adalah daripada syarikat yang berpangkalan di Kelantan bagi memohon sokongan khas daripada menteri pertahanan berhubung pembekalan perabot untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Pada surat ini tertera cop terima daripada Pejabat Menteri pada 24 Disember 2018, tandatangan dan cop nama menteri pertahanan bertarikh 9 Disember 2018 serta nota arahan menteri.

“Setelah meneliti dan mendapatkan maklumat daripada pihak berkaitan, ingin ditegaskan menteri pertahanan tidak pernah mengeluarkan sebarang sokongan kepada syarikat berkenaan,” katanya kepada pemberita di luar Balai Polis Wangsa Maju, hari ini.

Rafizal turut menafikan tandatangan cop rasmi serta nota arahan seperti yang tertera pada surat itu daripada menteri atau pejabat menteri pertahanan.

Beliau berkata, surat palsu ke-2 pula bertarikh 17 Januari 2019 daripada Bahagian Perbendahaan dan Audit, Unit Pentadbiran Awam Jabatan Tentera Laut yang menawarkan pembekalan perkhidmatan bas dan kenderaan untuk markas angkatan tentera kepada sebuah syarikat berpangkalan di Sungai Petani, Kedah.

“Turut disertakan adalah sijil pelantikan sebagai syarikat pembekal bagi tempoh kontrak selama 5 tahun bermula Februari 2019 sehingga Februari 2024.

“Setelah meneliti dan mendapatkan maklumat daripada pihak berkaitan, ingin ditegaskan bahawa tiada surat tawaran seperti dalam surat tersebut dikeluarkan oleh pihak berkenaan,” katanya.