Kementerian Pendidikan nafi dakwaan persatuan industri keselamatan

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan dakwaan Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) pihaknya tidak menyambung kontrak syarikat-syarikat perkhidmatan kawalan keselamatan yang tamat tempoh perkhidmatan pada 31 Disember lalu.

Sebaliknya kementerian menegaskan kontrak syarikat perkhidmatan kawalan keselamatan yang tamat tempoh pada 31 Disember 2018 telah ditender semula mengikut keperluan semasa norma baharu KPM.

KPM dalam kenyataan hari ini berkata, kontrak yang ditender semula disertai oleh syarikat-syarikat yang berdaftar dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kewangan berdasarkan keperluan semasa seperti bilangan syif dan pekerja.

“Antara syarikat-syarikat yang pernah mendapat kontrak daripada KPM sebelum ini juga menyertai proses tender. Segala proses tender telah dijalankan secara adil, telus dan penuh berintegriti,” kata kenyataan itu.

Kementerian Pendidikan mengulas laporan media hari ini, memetik PIKM yang menggesa supaya dikaji semula terma kontrak pengawal keselamatan sekolah yang ditukar daripada 2 syif kepada 3 syif setiap hari.

Presiden Datuk Seri Mustapa Ali berkata, terma kontrak tersebut menyebabkan 12,000 pengawal keselamatan sekolah ditamatkan perkhidmatan selain tidak disambung kontrak oleh Kementerian Pendidikan.

Sebaliknya, kata KPM, memandangkan penyertaan dalam tender mengikut harga yang ditawarkan, maka tidak adil untuk menganggap kementerian bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pengawal-pengawal yang diambil untuk bekerja oleh syarikat-syarikat yang menerima tawaran kontrak daripada KPM.

“Kementerian sekali lagi ingin menegaskan bahawa penawaran kontrak baru bagi perkhidmatan berkaitan adalah berdasarkan kepada skop dan spesifikasi yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak iaitu syarikat yang dilantik dan kementerian,” katanya.

KPM menegaskan ia tidak pernah menganiaya mana-mana pihak dalam perkara ini, malah tidak pernah menamatkan 12,000 orang pengawal keselamatan sebagaimana didakwa oleh PKIM.

“Kementerian juga prihatin ke atas kebajikan pengawal-pengawal keselamatan terbabit, dan oleh itu telah menasihatkan syarikat-syarikat keselamatan agar turut memastikan kebajikan pekerja masing-masing dijaga,” katanya.

Kementerian menambah pihaknya tidak terlibat dengan penamatan mahupun pengambilan mana-mana pengawal keselamatan memandangkan perkhidmatan kawalan keselamatan merupakan perolehan perkhidmatan dengan syarikat swasta.

“Ia dibuat sepenuhnya oleh syarikat yang mendapat kontrak perkhidmatan,” katanya.