Malaysia bakal perkenal prototaip kereta terbang

Redzuan Md Yusof berkata kereta terbang Malaysia selamat dan berupaya terbang pada altitud rendah dan pada kelajuan munasabah.

KUALA LUMPUR: Kereta terbang pertama Malaysia akan dipacu oleh teknologi tempatan, kata Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Md Yusof.

Beliau berkata prototaip kereta itu sudah ada dan dijangka diperkenalkan kepada awam tahun ini.

“Tahun ini adalah sasaran yang realistik kerana kita sudah ada teknologinya. Semua ini tentang kecepatan pelaksanaan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan inisiatif Pertumbuhan Malaysia, hari ini.

Beliau berkata kereta itu adalah selamat dan berupaya terbang pada altitud rendah dan pada kelajuan munasabah.

“Pelaburan untuk membina prototaip lebih sedikit daripada RM1 juta,” katanya.

Redzuan berkata projek kereta terbang adalah cara untuk kerajaan mewujudkan persekitaran yang mendorong rakyat untuk memikirkan tentang teknologi baharu.

“Kami menyediakan pemangkin dan ekoistem bagi merangsang rakyat untuk berfikir melangkaui apa yang kami lakukan hari ini,” katanya.

Beliau berkata projek itu juga bagi memanfaatkan keupayaan negara dalam sektor aeroangkasa, dron, kenderaan tanpa pemandu (UAV) dan automotif.

“Malaysia mempunyai kepakaran untuk cemerlang dalam bidang aeroangkasa, dron, UAV dan kereta nasional, dan kita perlu menggunakan kemahiran kita kerana apa yang penting adalah kita mahu menjadi negara pengeluar,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata projek itu berasingan daripada projek kereta nasional ke-3 yang diilhamkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Mengenai Pertumbuhan Malaysia, beliau berkata inisiatif itu diterajui operator platform dalam talian ke luar talian Fave untuk membantu peruncit luar talian di Malaysia memasuki dunia digital dari segi perkhidmatan pembayaran, pemasaran, data dan kewangan.

“Ini selaras dengan misi kementerian untuk memperluas dan menyelaraskan kegiatan keusahawanan kepada lebih bersasar,” katanya.

Pengasas Fave Joel Neoh berkata inisiatif itu berobjektif membantu 100,000 restoran di seluruh Malaysia untuk memanfaatkan digital menjelang 2020.

“Ketika dunia pesat beralih kepada digital, perniagaan luar talian terutamanya mereka dalam bidang minuman dan makanan serta runcit perlu memanfaatkannya dan menyesuaikan diri dengan perubahan dalam tingkah laku pengguna atau berisiko ketinggalan,” katanya.

Beliau berkata inisiatif itu juga dilaksanakan secara usaha sama dengan Grab Malaysia, Maybank, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, Persatuan Pembiayaan dan Nexus Produktiviti Peruncitan, Makanan dan Minuman.