MCA: Adakah caj kesesakan akan diperkenalkan di Lebuhraya Persekutuan

Wee Ka Siong berkata caj kesesakan dan tol adalah perkara sama.

PETALING JAYA: Mengkritik cadangan kerajaan untuk mengambilalih 4 konsesi lebuhraya, MCA hari ini bertanyakan sama ada Putrajaya merancang untuk memperkenalkan caj kesesakan ke atas Lebuhraya Persekutuan yang tiada tol.

Presiden Datuk Seri Wee Ka Siong berkata jika caj kesesakan perlu dan bagus untuk rakyat, maka “tidak logik sekiranya dasar yang sama tidak dilaksanakan di lebuhraya paling sesak”.

“Betul kan? Tidak mustahil pondok caj kesesakan dibina di lebuhraya-lebuhraya lain yang tidak lagi mengenakan tol,” katanya dalam kenyataan.

Wee mendakwa rancangan kerajaan untuk menggantikan tol dengan caj kesesakan hanyalah bermain istilah.

“Mereka malu nak mengaku mereka tidak dapat memenuhi janji menghapuskan caj tol dalam manifesto pilihan raya mereka.

“Oleh itu, mereka mengatakan caj kesesakan adalah perlu dan baik untuk rakyat secara keseluruhan,” katanya.

Mengenai kenyataan pemimpin PH membidas pengkritik caj kesesakan itu tidak mendahulukan kepentingan negara dan rakyat, Wee berkata gabugnan itu cuba menutup kegagalan memansuhkan caj tol sepenuhnya.

“Mereka cuba sedaya upaya menggunakan alasan itu untuk menutup kegagalan memenuhi janji menghapuskan bayaran tol, yang mereka uar-uarkan sebelum pilihan raya umum ke-14 dan disambut penyokong mereka.”

Putrajaya pada Ahad mengumumkan ia sedang berunding dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi dan memperkenalkan caj kesesakan di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART.

Caj kesesakan akan dikuatkuasakan selama 6 jam ketika waktu puncak setiap hari. Kadar waktu puncak adalah seperti sedia ada, diskaun 30% diberikan pada waktu biasa dan percuma dari 11 malam hingga 5 pagi.