Negara akan huru-hara tanpa Dr M, kata Ku Li

Ku Li berkata ramai yang mendoakan Mahathir Mohamad kekal sihat ketika berucap dalam program sembang santai di Bukit Mahkota 2.

BANGI: Tengku Razaleigh Hamzah yang suatu ketika dahulu seteru kuat Dr Mahathir Mohamad sewaktu dalam Umno, kini mendoakan perdana menteri ke-7 itu berada dalam keadaan sihat.

Pengerusi Jemaah Penasihat Umno itu berkata, negara akan huru-hara sekiranya perkara tidak diingini berlaku kepada Mahathir memandangkan terdapat pergelutan dalaman yang berlaku dalam Pakatan Harapan.

“Sekarang ini dia balik semula buat kali ke-2 dan banyak orang berdoa, ini bukannya saya hendak sindir kerana orang berdoa supaya dia sihat sekarang kerana kalau berlaku apa-apa kepada Mahathir di saat ini, huru-hara negara.

“Dengan keadaan dalam PKR, keadaan dihadapi PH, bayangkan apa yang akan berlaku DAP akan menguasai kementerian yang berbisa, kita akan menghadapi masalah besar, ini semua menunggu kita.

“Sekarang ini kita banyak baca sandiwara, ada pertelingkahan antara 1 kumpulan dengan kumpulan lain, sekarang ini mereka banyak main catur,” katanya dalam program sembang santai di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Mahkota 2.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, sepanjang PH menguasai Putrajaya, keadaan negara bukannya menjadi semakin baik, sebaliknya menjadi semakin buruk dengan pelbagai perkara memberi impak negatif kepada rakyat.

“Kita minta pengundi DUN Semenyih berubahlah supaya tidak kita alami keadaan susah, keadaan ini untuk dipulihkan akan mengambil masa, kos sara hidup akan terus kekal menderitakan kita dan nilai ringgit tidak dapat dibaiki.

“Apa dilakukan kerajaan sekarang untuk kita bezakan dengan dahulu, seperti langit dan bumi. Tidak ada perubahan yang menyenangkan, tetapi lagi merisaukan kerana takut dengan perkara yang mungkin berlaku,” katanya.

Ku Li menambah, PH bukan sahaja tidak dapat menunaikan janji manifesto mereka, sebaliknya corak pentadbiran gabungan 4 parti itu juga menyebabkan nilai mata wang negara merosot.

“Lobak, bawang, cili, semuanya kita import yang berjumlah RM43 bilion, buah mangga juga kita import. Pendek kata, perkara yang kita jumpa dalam market, semuanya adalah import.

“Tambahan pula dengan isu pekerja asing yang dibawa perdana menteri ke-4. Ini secara tidak langsung menyebabkan nilai Ringgit semakin lemah, ia begitu banyak sekarang.

“Apatah lagi dengan isu inflasi, jika dibiarkan keadaan ini berterusan, kita hanya mimpi hendak dapatkan segala kemudahan dalam manifesto, kita tidak akan dapat nikmati apa yang dijanjikan,” katanya.