Peguam Isa Samad mohon pindah kes ke Mahkamah Tinggi

Isa Samad mengaku tak bersalah atas 1 pertuduhan pecah amanah dan 9 pertuduhan menerima rasuah bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak oleh FIC. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Pasukan pembelaan yang mewakili bekas pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang didakwa atas 1 pertuduhan pecah amanah dan 9 pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta akan menfailkan permohonan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi.

Permohonan untuk memindahkan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi akan difailkan selewat-lewatnya 20 Mac ini.

Perkara itu dimaklumkan Peguam Datuk K Kumaraendran pada sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi hari ini.

Bagaimanapun, Kumaraendran berkata permohonan akan difailkan selepas memperoleh semua dokumen daripada pihak pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Umar Saifuddin Jaafar tidak membantah terhadap permohonan peguam itu dan memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah menyerahkan baki 32 dokumen berkaitan kes itu kepada pihak pembelaan.

“Setakat ini, semua dokumen telah diserahkan kepada pihak pembelaan namun sekiranya terdapat dokumen lain, ia akan diserahkan sebelum 15 Mac,” katanya.

Azura menetapkan 4 April untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan perkembangan mengenai pemohonan pemindahan kes itu.

Pada 14 Disember 2018, Isa mengaku tidak bersalah atas 1 pertuduhan pecah amanah dan 9 pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation (FIC) Sdn Bhd.

Dia dituduh melakukan kesalahan pecah amanah di Tingkat 50, Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC pada 29 April 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dia dituduh melakukan semua 9 kesalahan menerima rasuah di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.