Pelajar MRSM Arau anjur kempen ‘Kesatuan Dalam Kepelbagaian’

KANGAR: Buat julung kalinya Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Arau hari ini mengadakan Kempen Kesatuan Dalam Kepelbagaian yang melibatkan pelajar Melayu, Cina, India dan Siam bagi memupuk perpaduan kaum.

Timbalan Presiden Badan Perwakilan Pelajar MRSM Arau, Nur Izzati Sharizal, 17, berkata kempen itu merupakan inisiatif pelajar untuk memupuk kesedaran mengenai kepelbagaian kaum di Malaysia dan meneutralkan isu perkauman.

“Sebagai generasi pemangkin masa hadapan, kami mahu ketengahkan aspek positif hidup dalam masyarakat majmuk dan bagaimana untuk menghargai kepelbagaian itu,” katanya kepada pemberita semasa berkempen di sekitar pasaraya Giant.

Beberapa acara menarik berteraskan perpaduan kaum diadakan antaranya pertandingan mewarna, permainan tradisional pelbagai kaum, “busking” dan “talkshow”, yang melibatkan penyertaan 39 pelajar MRSM serta 20 murid sekolah angkat MRSM Beseri.

MRSM Arau yang mempunyai 600 pelajar dengan 10% daripada mereka adalah bukan Bumiputra merupakan kampus kedua di Perlis yang beroperasi pada 2017 selepas MRSM Beseri yang ditubuhkan pada 1985.