Penerima skim insurans B40 bukan pelanggan Great Eastern, kata menteri

Dr Mahathir Mohamad (tengah) menyaksikan penyerahan cek RM2 billion untuk dana amanah mySalam daripada Great Eastern Holdings Berhad yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Khor Hock Seng (2 dari kanan) kepada Lim Guan Eng (2 dari kiri) pada majlis pelancaran skim itu di Kementerian Kewangan, bulan lalu. Turut hadir Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad (kiri) dan Timbalan Menteri Kewangan, Amiruddin Hamzah (kanan). (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menepis dakwaan pelaksanaan Skim Perlindungan Nasional B40 (mySalam) bertujuan membantu mengembangkan pasaran sebuah syarikat insurans tempatan.

Katanya, penerima skim itu bukan pelanggan Great Eastern Takaful Berhad kerana syarikat itu sekadar menyumbang caruman dana permulaan sebanyak RM2 bilion kepada dana amanah mySalam.

Beliau berkata, skim milik kerajaan persekutuan itu didaftarkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan dikawal selia Bank Negara Malaysia.

“Sebanyak 3.7 juta yang merupakan penerima skim Bantuan Sara Hidup (BSH) layak memohon mySalam dan data mereka terpelihara di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi.

“Jadi, mereka bukanlah pelanggan Great Eastern di bawah mySalam secara automatik kerana skim tersebut adalah milik kerajaan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Michael Jeyakumar sebelum ini mendakwa pelaksanaan mySalam dilihat membantu mengembangkan perniagaan Great Eastern Takaful Berhad.

Lim membidas tindakan PSM yang didakwanya cuba mempolitikkan skim itu.

“Saya tidak mahu melayan sangat sentimen politik PSM, kami hanya berhasrat membantu golongan yang memerlukan seperti B40 dengan memberi perlindungan kesihatan.

“Jadi, kalau ada yang mempersoalkan mySalam, itu hak mereka. Tetapi, lebih elok jangan mempolitikkan skim ini, fikirkanlah nasib mereka yang sukar mendapat bantuan kewangan untuk merawat penyakit yang dihadapi.”

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad melancarkan mySalam pada 24 Januari lalu dan laman web rasmi skim itu mula beroperasi hari ini. Pemohon yang layak boleh membuat tuntutan mulai 1 Mac ini.

Ia menawarkan perlindungan kesihatan percuma kepada penerima B40 yang layak untuk 36 penyakit kritikal sehingga RM8,000 secara “one-off” dan bayaran harian sebagai pendapatan gantian semasa dirawat di hospital sehingga maksimum 14 hari setiap tahun pada kadar RM50 sehari atau RM700 setahun.