Cadangan ambil alih 4 lebuh raya manfaatkan semua pihak, kata Guan Eng

Lim Guan Eng berkata, kerajaan memerlukan 6 bulan untuk memenuhi semua keperluan pengawalseliaan, kewangan dan undang-undang bagi pengambilalihan 4 lebuh raya di Lembah Klang.

PUTRAJAYA: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mempertahankan cadangan pengambilalihan 4 lebuh raya di Lembah Klang dengan menyifatkan ia penyelesaian yang akan memanfaatkan kerajaan, pembayar cukai dan pengguna lebuh raya.

Katanya, pengguna bakal menikmati penjimatan sehingga RM180 juta setahun yang akan menyebabkan pendapatan isi rumah rakyat bertambah dalam jumlah sama dan kesesakan lalu lintas dapat dikurangkan pada waktu puncak.

Beliau berkata, RM5.3 bilion dalam bentuk pampasan kepada syarikat konsesi juga dapat dijimatkan kerana pengambilalihan itu dibuat pada harga adil dan berpatutan.

“Ini adalah penyelesaian ‘win win win’ atau 3 kali menang, iaitu kerajaan dan pembayar cukai jimat RM5.3 bilion, pengguna jimat RM180 juta setahun dan sebarang lebihan kutipan caj kesesakan akan disalurkan kepada pembangunan dan penyelenggaraan sistem pengangkutan awam negara.

“Kutipan caj kesesakan mencukupi untuk membiaya bayaran balik pinjaman kos pengambilalihan dan juga segala operasi serta penyelenggaraan lebuh raya tanpa memerlukan peruntukan tambahan daripada Kementerian Kewangan.

“Empat lebuh raya ini menguasai 48% lebuh raya daripada jumlah pendapatan lebuh raya bertol di bandar. Ini sekali gus menunjukkan kesungguhan dan komitmen kerajaan dalam menenuhi manifesto pilihan raya,” katanya dalam sidang media hari ini.

Lim berkata, kerajaan memerlukan 6 bulan untuk memenuhi semua keperluan pengawalseliaan, kewangan dan undang-undang dalam pengambilalihan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Smart.

Sabtu lalu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan kutipan tol di 4 lebuh raya kendalian Gamuda Berhad akan dihapuskan di luar waktu puncak antara 11 malam hingga 5 pagi.

“Sebagai ganti, caj kesesakan akan diperkenalkan, iaitu pengguna lebuh raya hanya dikenakan bayaran sama dengan kadar tol sedia ada untuk waktu puncak selama 6 jam sehari.”

Katanya, pengguna juga akan menikmati diskaun 30% berbanding kadar tol sedia ada bagi penggunaan waktu biasa.