Periksa ‘common law’ mengenai tuntutan Orang Asli di Perak, gesa Badan Peguam

Penduduk Kampung Tasik Cunex tunjuk perasaan, sekat lori keluarkan balak

PETALING JAYA: Badan Peguam bimbang dengan pendirian kerajaan Perak mengenai kegiatan pembalakan di kawasan yang didakwa Orang Asli sebagai tanah adat, mengatakan tanah itu mungkin milik masyarakat itu mengikut “common law”.

Presiden George Varughese berkata mahkamah atasan selama 2 dekad ini mengiktiraf hak-hak Orang Asli dalam “common law” ke atas tanah tertentu yang diduduki, didiami dan digunakan secara berterusan selama turun-temurun.

Hak-hak “common law” ini wujud walaupun tanah terlibat dijadikan tanah simpan, katanya.

“Adalah jelas kes-kes ‘common law’ seperti itu jatuh bawah takrif ‘undang-undang’ dalam Artikel 160 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Masyarakat Orang Asli di Gerik awal bulan ini menuduh kerajaan negeri menceroboh tanah mereka untuk menjalankan kegiatan pembalakan.

Penduduk dari Kampung Tasik Cunex membina halangan untuk menyekat lori-lori memasuki kawasan tersebut untuk membawa keluar balak.

Mereka juga buat laporan polis dan mendakwa mereka diugut oleh syarikat pembalakan dan Jabatan Perhutanan Perak.

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu dilapor berkata, kegiatan pembalakan itu mematuhi undang-undang dan kawasan berkenaan tidak diwartakan sebagai kawasan rayau, kata Varughese.

Katanya, pengarah perhutanan negeri juga dilapor berkata, kawasan yang didakwa itu kawasan hutan simpan Air Chepam, bukan tanah adat Orang Asli.

Varughese dalam kenyataan berkata, dakwaan kerajaan Perak mengatakan ia mematuhi undang-undang dalam keadaan di mana Orang Asli mungkin memiliki hak tanah adat melalui “common law” adalah “mengelirukan”.

Katanya, mahkamah atasan juga menyatakan kerajaan negeri memegang amanah melindungi hak tanah Orang Asli dan tidak bertindak secara tidak konsisten atas hak tersebut.

Beliau menggesa kerajaan Perak menggantung kegiatan pembalakan di kawasan yang statusnya bertindih dengan tanah dituntut Orang Asli dan menyiasat perkara ini bersama Orang Asli bagi menentukan sama ada betul ia tanah adat bawah “common law”.

Beliau juga mendesak kerajaan persekutuan dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli memberi jaminan hak tanah adat masyarakat Orang Aski dilindungi.

Beliau mencadangkan moratorium dikenakan ke atas kegiatan di tempat-tempat didakwa tanah adat sementara menunggu rumusan terhadap tuntutan mereka.