Polis siasat punca kematian bekas CEO Cradle Fund selepas terima laporan bedah siasat ke-2

Nazrin Hassan meninggal dunia di rumahnya pada 14 Jun 2018. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Punca sebenar kematian bekas ketua pegawai eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan masih dalam siasatan polis selepas laporan bedah siasat ke-2 diterima minggu lalu, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat.

Beliau berkata, kertas siasatan kes itu kemudiannya dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut pada 22 Februari lalu.

“Saya cuma sahkan laporan ke-2 diterima, manakala butirannya tertakluk kepada siasatan,” katanya kepada FMT hari ini.

Nazrin, 45, meninggal dunia dalam kebakaran di rumahnya di Petaling Jaya, pada 14 Jun 2018. Allahyarham dikatakan maut selepas telefon bimbit dalam biliknya meletup.

Bagaimanapun, polis pada Ogos 2018 mengklasifikasikan kematian Nazrin sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan berdasarkan laporan bedah siasat pertama dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Jenazah Nazrin digali semula pada Oktober lalu untuk bedah siasat ke-2 kerana ada ahli keluarga yang tidak berpuas hati dengan laporan bedah siasat terdahulu.

Susulan itu, isteri Nazrin bersama bekas suaminya, 2 anak tiri serta adik ipar Nazrin ditahan polis, sebelum dibebaskan tanpa sebarang pendakwaan.

Hari ini, The Sun memetik sumber sebagai berkata, hasil bedah siasat ke-2 mendapati Nazrin meninggal dunia akibat kecederaan di kepala, bukannya letupan telefon bimbit yang dicas berdekatannya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun berkata, beliau belum melihat laporan bedah siasat ke-2 itu lagi.

“Setakat ini kita tunggu arahan daripada timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya selepas merasmikan Majlis Peringatan Ulang Tahun Pasukan Simpanan Persekutuan ke-63 di Dataran Kawad Pasukan Simpanan Persekutuan, Cheras, hari ini.

Sementara itu, Fuzi berkata, belum ada pihak yang tampil memberi maklumat berhubung kedudukan Muhammad Riduan Abdullah, bekas suami M Indira Gandhi yang belum menyerahkan anak bongsu mereka kepada wanita itu seperti diarahkan mahkamah.

Beliau berkata, polis belum menerima apa-apa maklum balas mengenai perkara tersebut.

Mahkamah Persekutuan pada 29 Januari 2018 mengetepikan penukaran agama sebelah pihak 3 anak Indira kepada Islam, selepas memutuskan sebarang penukaran agama kanak-kanak bukan Islam harus mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa.

Pada hari sama, Fuzi dilaporkan berkata, usaha mengesan dan menahan Riduan masih berterusan sejak 2014, berdasarkan waran pengkomitan dikeluarkan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 30 Mei 2014.