PRK Semenyih: 858 pengundi awal dijangka turun mengundi

Pengundi awal PRK DUN Semenyih membuang undi di IPD Kajang dan Dewan Batelion Kem PGA Semenyih.

SEMENYIH: Seramai 858 pengundi awal dijangka menunaikan tanggungjawab mereka di 2 pusat mengundi bagi pilihan raya kecil DUN Semenyih hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Azhar Azizan Harun berkata proses undi awal itu melibatkan 951 pengundi tetapi 858 orang mengundi secara peribadi manakala selebihnya mengundi melalui pos.

“Pengundian hari ini libatkan 2 pusat mengundi iaitu Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dan Dewan Batelion Kem PGA Semenyih.

“Setakat pukul 10.00 pagi, saya dimaklumkan sebanyak 38% turun mengundi,” katanya pada sidang media. Hadir sama, Timbalan Pengerusi SPR, Prof Azmi Sharom.

Azhar berkata, proses mengundi awal itu berjalan lancar dan diharapkan berterusan sehingga tamat proses pengundian hari ini.

“Kita akan buka kedua-dua pusat undian sehingga jam 5.00 petang ini” katanya.

Turut sama kelihatan di pusat mengundi, calon Barisan Nasional Zakaria Hanafi; calon PSM, Nik Aziz Afiq dan calon bebas Kuan Chee Heng.

Kelibat calon PPBM, Mohammad Aiman Zainali bagaimanapun tidak kelihatan di kedua-dua pusat mengundi.