Putera Mahkota Arab Saudi sokong China ‘seksa’ etnik Uighur

Etnik Uighur yang ditahan di kem tahanan politik dilarang menggunakan sapaan Islam, diwajibkan mempelajari bahasa Mandarin dan menyanyikan lagu propaganda. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Putera Mahkota Saudi Mohammad bin Salman memuji langkah “anti-ekstremisme” China, mengatakan tindakan itu wajar terhadap kumpulan “ekstremis” termasuk minoriti Islam Uighur.

“Kami menghormati dan menyokong hak China untuk mengambil langkah anti-keganasan dan anti ekstremisme untuk melindungi keselamatan negara. Kami bersedia mengukuhkan kerjasama dengan China,” katanya dalam lawatan ke China bagi memeterai perjanjian kompleks penapisan dan petrokimia bernilai bernilai RM40 bilion, yang akan dibangunkan di Panjin, China.

Sokongan itu bermakna Mohammad bersetuju dengan “penyeksaan” China terhadap etnik minoriti itu, yang menurut kumpulan hak asasi manusia sebagai penahanan tidak sah, memisahkan keluarga, melakukan penyeksaan dan memaksa etnik terbabit menukar ideologi dari Islam kepada komunis.

Perdana Menteri China, Xi Jinping juga berkata Arab Saudi dan China harus bekerjasama “untuk mencegah penyebaran pemikiran ekstremis”.

Kenyataan itu membayangkan taktik genosid yang digunakan China untuk menentang umat Islam Uighur adalah sah, sejajar dengan kebisuan pihak berkuasa China berhubung pembunuhan Jamal Khashoggi.

Sebelum ini Human Rights Watch dilaporkan berkata etnik Uighur di wilayah Xinjiang China berdepan penahanan sewenang-wenang, sekatan harian ke atas pengamalan agama dan “indoktrinasi politik paksa” dalam operasi keselamatan besar-besaran.

Etnik Uighur dan penganut Islam lain yang ditahan di kem terbabit dilarang menggunakan sapaan Islam, diwajibkan mempelajari bahasa Mandarin dan menyanyikan lagu propaganda, menurut laporan HRW.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pula berkata pihak berkuasa China dipercayai menahan sehingga 1 juta etnik Uighur dalam sebuah sistem “kem tahanan” rahsia di Xinjiang, di mana mereka melalui program pendidikan politik.

China bagaimanapun berkata Xinjiang berhadapan dengan ancaman serius daripada kumpulan militan dan pemisah Islam yang melancarkan serangan dan mencetus ketegangan antara etnik Uighur yang menganggap wilayah tersebut sebagai negeri mereka dengan etnik majoriti Han.