Putrajaya perhalusi perkongsian teknologi projek kereta nasional ke-3

Redzuan berkata kementerian sedang memperhalusi perkongsian teknologi berhubung projek kereta nasional ke-3.

SHAH ALAM: Menteri Pembangunan Usahawan, Redzuan Md Yusof berkata pihaknya sedang memperhalusi dari segi perkongsian teknologi berhubung projek kereta nasional ke-3.

Menurutnya, perkongsian teknologi itu daripada sudut penggunaan platform dan jenis enjin yang akan digunakan.

Perkara berkenaan akan mengambil sedikit masa kerana banyak pihak yang menunjukkan minat terhadap projek terbabit.

“Ini bukan keputusan yang boleh diambil begitu mudah sebab kita kena bawa kepada Majlis Pembangunan Negara bagi memastikan teknologi yang kita pakai nanti majlis pembangunan negara, untuk memastikan teknologi yang kita pakai nanti mampan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Redzuan berkata projek kereta nasional ke-3 itu juga akan menggunakan kepakaran tempatan.

“Kita nak jadi satu negara pengeluar, bukan negara pengguna. Itu teras kita menjadi negara membangun,” katanya.

Mengenai pilihan raya kecil (PRK) DUN Semenyih yang akan diadakan Sabtu ini, ahli majlis tertinggi PPBM itu yakin calonnya, Muhammad Aiman Zainali, akan menang pada 2 Mac ini.

“Kalau sebelum ini saya rasa susah, tapi hari ini ia ada memberi cahaya. Saya rasa insya-Allah kita akan menang,” katanya.

Beliau turut ditanya mengenai peluang PH pada PRK DUN Rantau, Negeri Sembilan.

“Saya belum buat analisa secara sendiri. Faktor banyak. Pertamanya, calon. Kedua, kita kena terus memberi maklumat kepada rakyat.

“Kita kena terus memperbetulkan kalau ada fitnah yang menyatakan yang itu, yang ini tak betul,” katanya.