Selangor gesa kerajaan gubal undang-undang lindungi pekerja estet

V Ganabatirau berkata sudah tiba masanya Parlimen merangka undang-undang untuk melindungi hak pekerja ladang. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang exco Selangor berkata kerajaan negeri komited untuk menggesa kerajaan menggubal undang-undang bagi melindungi kepentingan pekerja, terutama pekerja ladang.

V Ganabatirau, yang mengetuai jawatankuasa Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin memberitahu FMT, beliau merancang untuk bertemu Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran bagi tujuan merangka rang undang-undang tersebut yang akan dibentangkan di Parlimen.

Beliau memberi maklum balas terhadap Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, S Arulchelvan, yang baru-baru ini mengadu negeri itu tidak menunaikan janjinya untuk membina rumah alternatif kepada bekas pekerja ladang yang dipaksa keluar dari rumah mereka oleh syarikat yang mengambil alih ladang.

Arulchelvan, yang menyelaraskan kempen partinya pada pilihan raya kecil Semenyih, menuntut enakmen undang-undang negeri bagi melindungi pekerja ladang.

Mengulas lanjut, Ganabatirau berkata beliau bersetuju undang-undang sedemikian diperlukan, tetapi berkata ia akan terpakai sebagai undang-undang persekutuan.

Beliau berkata sudah tiba masanya Parlimen membuat undang-undang sedemikian.

“Kita memerlukan undang-undang bagi seluruh negara, tetapi kita tidak boleh mempunyai enakmen negeri yang mungkin bertentangan dengan undang-undang persekutuan,” katanya.

Sementara itu, kerajaan akan terus menangani isu hak pekerja melalui rundingan, katanya.

Beliau mengambil contoh pendahulunya, Xavier Jayakumar, berusaha mewujudkan enakmen negeri bagi melindungi pekerja ladang, tetapi katanya, beliau masih belum mendapat akses kepada dokumen Jayakumar.