SPR terima 23 aduan sejak kempen PRK Semenyih bermula

Azhar Azizan Harun bercakap kepada wartawan selepas meninjau proses pengundian awal PRK Semenyih hari ini.

SEMENYIH: Suruhanjaya Pilihan Raya menerima 23 aduan berhubung pelbagai kesalahan sejak kempen pilihan raya kecil Semenyih bermula 16 Februari lalu.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, pengadu turut membuat laporan sama kepada pihak polis yang antara lain membabitkan kesalahan di bawah Akta Pilihan Raya 1954, iaitu memberi ceramah tanpa permit.

“Kita juga telah menghentikan kempen tak ada permit kedua-dua pihak, bukan satu pihak sahaja. Kemudian, terdapat juga laporan dibuat mengenai pembaikan rumah dan memberikan hamper,” katanya selepas meninjau proses pengundian awal hari ini.

Bagaimanapun, Azhar berkata, SPR tiada kuasa menyiasat aduan itu.

“SPR hanya pengelola pilihan raya, yang berhak membuat siasatan adalah pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.”

Beliau menggesa pihak yang mempunyai maklumat tambahan atau menyaksikan perkara mencurigai untuk tampil membuat aduan kepada SPR.

Ini kerana, katanya, laporan media tidak cukup untuk dijadikan asas terhadap sebarang aduan salah laku dalam pilihan raya.

“Kalau dibawa ke polis pun, polis tanya mana dapat video ini? Saya nak cakap macam mana, sebab bukan yang asli dari saya.

“Oleh itu, sesiapa yang ada maklumat, sila tampil buat laporan kepada kita.”