Ucapan saya diguna untuk beri gambaran salah, kata Nazri

SEMENYIH: Setiausaha Agung Barisan Nasional Datuk Seri Nazri Aziz membidas laporan sekitar ucapannya dalam kempen pilihan raya kecil DUN Semenyih, mengatakan ia digunakan untuk memberi gambaran yang salah.

“Benda yang berlaku kepada saya ini usaha mereka untuk menang pilihan raya, itu saja.

“Ini percubaan yang terdesak oleh akhbar tertentu yang mungkin pro-kerajaan dan ini peluang untuk memberi gambaran yang salah.

“Bagi mereka yang mengenal saya, mereka mengenali saya,” katanya kepada pemberita di Bandar Seri Putera.

Nazri yang disiasat bawah Akta Hasutan berkata dia dipanggil polis semalam untuk diambil keterangan.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan Nazri disiasat bawah Akta Hasutan kerana ucapan semasa berkempen di Semenyih.

Fuzi berkata polis juga sedang melengkapkan kertas siasatan.

Nazri dilapor mempersoalkan pelantikan orang bukan Melayu ke jawatan peguam negara, ketua hakim negara dan menteri kewangan dalam satu ucapan pada Sabtu, mengatakan ini bermakna mereka tidak boleh mengangkat sumpah dengan Al-Quran.

Beliau juga dilapor memberi amaran kepada orang bukan Melayu untuk tidak persoalkan hak keistimewaan Melayu, mengatakan orang bukan Melayu juga mempunyai keistimewaan iaitu sekolah aliran.

Nazri mempertahankan ucapannya, mengatakan dia hanya meminta semua pihak menghormati hak-hak orang Melayu dan bukan Melayu.

Bukan pandangan Umno

Sementara itu, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan pendirian Nazri adalah pandangan peribadi yang tidak mewakili pendirian dan pandangan Umno.

Mohamad berkata Umno menghormati dan memahami keperluan sekolah aliran dan berpendirian sekolah jenis itu perlu terus wujud.

“Ini merupakan pendirian konsisten dan tegas Umno dan BN yang selari dengan keperluan Malaysia,” katanyha dalam kenyataan.

Mohamad berkata komitmen Umno dan BN kepada sekolah aliran dapat dilihat daripada sokongan prasarana, pengiktirafan dan pemberian peruntukan yang diperlukan.

Mengenai kontroversi yang timbul daripada ucapan Nazri, Mohamad berkata setiausaha agung BN itu sudah mengambil tanggungjawab dengan menerangkan maksud ucapannya.

“Saya berharap isu ini tidak dipolitikkan secara tidak bertanggungjawab oleh mana-mana pihak terutamanya dengan cara yang tidak menggambarkan pendirian sebenar Umno dan BN,” katanya.