Undi awal PRK Semenyih lancar, 81% pengundi laksana tanggungjawab

SEMENYIH: Proses pengundian awal bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Semenyih hari ini menyaksikan 81.39% pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka.

Timbalan Ketua Polis Kajang, Sabri Abdullah berkata, peratusan tersebut bersamaan 774 pengundi.

“Peratus keluar mengundi setakat pukul 5, sebanyak 77.25% keluar mengundi secara peribadi. Selebihnya mengundi melalui undian pos,” katanya pada sidang media di Balai Polis Beranang.

Jelasnya, proses pengundian berjalan lancar sehingga tempoh mengundi tutup pada 5.00 petang.

Sabri mahu setiap parti politik yang bertanding mematuhi peraturan dan undang-undang pilihan raya sehingga hari mengundi tiba.

“Juga, diingatkan untuk membuat permohonan permit bagi tujuan kempen,” katanya.

Jelasnya, sebayak 228 permit ceramah politik dikeluarkan dari 16 Februari hingga hari ini.

“Barisan Nasional (BN) sebanyak 97 permit, Pakatan Harapan (PH) sebanyak 115 permit, Parti Sosialis Malaysia sebanyak 14 permit, dan calon bebas 2 permit,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan sebanyak 70% keluar mengundi bagi PRK Semenyih.

DUN Semenyih akan memilih pada 2 Februari ini.