2 polis dibunuh selepas dilarikan lelaki bersenjata di selatan Thailand

Polis percaya 2 mangsa itu ditembak sebelum mayat mereka dibuang ke dalam sungai kira-kira 200m dari tempat kejadian.

NARATHIWAT: Dua anggota polis ditemui maut dengan kesan tembakan kira-kira 5 jam selepas mereka dilarikan sekumpulan lelaki bersenjata di Chok I Rong, Narathiwat, selatan Thailand, lewat malam tadi.

Mayat anggota polis berusia 30 dan 31 tahun itu ditemui terapung dalam sungai, kira-kira 200m dari tempat kejadian.

Ketua Polis Chok I Rong, Lukman Bokok berkata, kejadian berlaku pada 7.30 malam tadi, semasa 2 anggota polis yang sedang minum di sebuah kedai kopi di Kampung Bukit, didatangi 8 lelaki bertopeng dan bersenjata yang memaksa mereka menaiki kenderaan.

“Kedua-dua mereka dipercayai ditembak sebelum mayat mereka dibuang ke dalam sungai yang terletak tidak jauh dari tempat kejadian,” katanya.

Lukman berkata, polis turut menemui kenderaan milik mangsa dibakar di daerah Takbai.

“Suspek dipercayai melarikan 3 laras senjata milik mangsa, satu raifal M16 dan 2 lagi pistol.”