3 maut, 60 dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan lombong emas haram

Petugas penyelamat dan penduduk kampung bertungkus-lumus mencari mangsa yang terselamat di kawasan tanah runtuh di lombong emas haram. (Gambar Reuters)

JAKARTA: Agensi penyelamat Indonesia sedang mencari mangsa yang masih hidup selepas lebih 60 orang dikhuatiri tertimbus akibat tanah runtuh di lombong emas haram di Sulawesi pada Rabu.

Agensi itu berkata, 3 mayat dijumpai dan 13 mangsa diselamatkan sehingga jam 5 pagi ini selepas insiden yang berlaku petang semalam di kawasan Bolaang Mongondow di wilayah Sulawesi Utara.

“Ketika mangsa sedang melombong emas di situ, tiba-tiba tiang dan papan penyokong yang mereka gunakan patah akibat tanah tidak stabil dan beberapa pelombong terperangkap,” kata jurucakap agensi tersebut, Sutopo Purwo Nugroho.

Gambar yang dikeluarkan agensi itu menunjukkan penyelamat dan penduduk kampung bertungkus-lumus mencari mangsa yang terselamat di kawasan berselut itu malam tadi dan membawa mereka ke tempat selamat.

“Kerja menyelamat diteruskan sepanjang malam memandangkan ramai dikhuatiri tertimbus,” kata Sutopo.

Kerajaan pusat mengharamkan perlombongan emas secara kecil-kecilan seperti itu, namun pihak berkuasa peringkat wilayah didakwa tidak menjalankan penguatkuasaan di kawasan pendalaman. Tanpa peraturan, kemalangan mudah berlaku di kawasan lombong seperti itu.