Adib beritahu ditarik, dipukul dengan objek, kata ketua balai

Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman ialah saksi ke-18 inkues yang memberi keterangan di Mahkamah Koroner Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM: Bekas ketua Muhammad Adib Mohd Kassim berkata anggota bomba itu mengiyakan ketika ditanya adakah dia ditarik dari van bomba dan dipukul dalam rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Saksi ke-18, Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman, ketua Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya berkata dia berkomunikasi dengan Adib secara isyarat semasa mengunjunginya di Institut Jantung Negara pada 5 Disember lepas.

“Adib mengangguk dan melepaskan tangan saya dan menunjukkan bahagian bahunya,” katanya kepada pegawai pengendali inkues, Hamdan Hamzah pada hari ke-11 inkues hari ini.

Adib turut memaklumkan dia dipukul dengan suatu objek.

Syed Shahril kata ketika mahu beransur, Adib memegang tangannya dengan erat.

“Saya cakap dengan Adib, saya akan datang semula nanti,” katanya.

Keadaan van EMRS yang dinaikkan Muhammad Adib Mohd Kassim selepas diserang perusuh di luar Kuil Sri Maha Mariamman, pada 27 November lalu.

Dalam lawatan seterusnya pada 12 Disember, Syed Shahril membawa bersamanya kertas mengandungi 15 soalan dengan kotak-kotak untuk ditanda, yang disediakan untuk Adib selepas berbincang dengan pengarahnya.

Adib mengiyakan perusuh cuba membuka pintu van yang dinaikinya dan berjaya membuka pintu tersebut. Adib juga mengiyakan dia ditarik keluar.

Adib bagaimanapun tidak ingat adakah dia terus terjatuh selepas ditarik. Adib juga tidak ingat adakah dia terus dipukul selepas terjatuh.

Adib mengiyakan dia dipukul dengan “peralatan” tetapi tidak nampak apakah alat itu. Adib menandakan alat tersebut bukan batu atau besi.

Adib tidak ingat adakah dia cuba mempertahankan diri ketika itu.

Syed Shahril kelihatan beberapa kali mengelap air matanya ketika memberi keterangan kepada inkues.

Syazlin Mansor, peguam mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bertanyakan kenapa Syed Shahril menyoal Adib.

“Sebab wujudnya spekulasi Adib dilanggar, dicederakan. Saya nak tahu sendiri perkara sebenar,” katanya.

Syed Shahril berkata kertas soalan itu diserah kepada pegawai penyiasat polis pada 24 Disember lalu.

Adib yang merupakan anggota van EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman, pada 27 November lalu.

Beliau meninggal dunia pada 17 Disember lalu, 3 minggu selepas dirawat di IJN.