Aswara gabung fakulti: Penggiat seni dakwa hina pengkarya

Aswara telah menggabungkan Fakulti Filem dan Fakulti Penulisan Kreatif di bawah 1 fakulti. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang penggiat seni mendakwa tindakan Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (Aswara) menggabungkan fakulti di bawah pusat pengajian itu disebabkan faktor kewangan seolah-olah memperlekehkan pengkarya seni, terutama mereka dari bidang penulisan.

Pengarah filem, Al-Jafree Md Yusop berkata bidang tersebut sangat luas dan berlainan dengan cabang seni yang lain.

“Mereka gabungkan Fakulti Filem dan Penulisan Kreatif jadi 1 fakulti. Ini kerja gila,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, penulisan kreatif dan filem walaupun berkait rapat tetapi dalam bidang yang berbeza.

“Bahkan, di luar negara kalau kursus ‘comparative literature’ pun mungkin ada program berkembar filem dan sastera tetapi tidak pernah digabungkan kedua-dua fakulti itu.

“Jika digabungkan dengan filem ianya seolah penulisan satu bidang tempelan. Sedangkan pengaruh sastera dalam dunia sangat besar,” katanya.

Al-Jafree Md Yusop. (Gambar Facebook)

Al-Jafree menambah, penggabungan itu jelas menunjukkan rektor Aswara tidak mempedulikan pembelajaran di bawah fakulti di institusi seni tersohor itu.

“Begitu juga filem, satu bidang yang berbeza. Situasi ini menunjukkan rektor yakin sesiapa sahaja boleh mengajar penulisan, tidakkah itu menghina?” soalnya.

Aswara dahulunya dikenali sebagai Akademi Seni Kebangsaan (ASK). Ia ditubuhkan pada 1994 di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia.

Ia juga merupakan satu-satunya institusi pengajian tinggi dalam bidang seni persembahan yang didukung penuh oleh kerajaan.

Selain Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem yang telah digabungkan, Aswara mempunyai 7 lagi fakulti lain iaitu Pusat Pengajian Asasi Seni Kreatif, Fakulti Animasi dan Multimedia, Fakulti Muzik, Fakulti Teater, Fakulti Tari, Fakulti Pengurusan Seni dan Budaya dan Fakulti Rekaan Komunikasi dan Visual.

Sementara itu, Rektor Aswara, Prof Mohd Rizon Juhari mengakui institusi itu dalam proses penggabungan fakulti yang bertujuan meningkatkan keberkesanan program akademik sedia ada.

“Kita tidak menghina, kita mahu pelajar kita yang mengarah filem juga boleh menulis skrip dengan baik,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, penggabungan fakulti itu sangat sesuai dibuat agar bebanan tugas dapat diselaraskan.

“Pada masa yang sama penggabungan ini akan mengatasi masalah pengagihan bebanan tugas pentadbiran yang tidak sekata antara fakulti dan tidak akan menjejaskan perjalanan program di fakulti-fakulti yang terlibat,” jelasnya.

Hal ini, katanya, kerana penggabungan hanya melibatkan struktur pentadbiran dan pengurusan sahaja.

Rizon berkata, melalui penggabungan fakulti itu diharap dapat mengembalikan kegemilangan Fakulti Penulisan semasa era kecemerlangan ASK.

“Waktu itu, kita melihat penulisan kreatif dan penulisan skrin perlu berada di bawah 1 bumbung bersama-sama dengan filem dan televisyen kerana mereka saling melengkapi,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu bukanlah sesuatu yang pelik kerana situasi tersebut turut berlaku di institusi pengajian tinggi awam yang lain.

“Seperti UiTM yang meletakkan filem, teater dan animasi di bawah 1 fakulti. Kita percaya ini akan melahirkan graduan yang multi-disiplin untuk masuk ke pasaran pekerjaan. Kita tidak pernah memperlekehkan kegiatan seni khususnya penulisan,” katanya.

Tambah beliau, walaupun penggabungan pengurusan dan pentadbiran berlaku, tetapi peruntukkan tahunan bagi pelaksanaan program akademik dan program peluasan tetap disalurkan seolah-olah mereka sebagai 2 fakulti.

Katanya lagi, keputusan menggabungkan fakulti di bawah Aswara bukan sahaja tertakluk kepada satu kuasa tetapi mengikut akta Badan-badan Berkanun Persekutuan.

“Dalam akta badan Badan-Badan Berkanun Persekutuan, keputusan dan hala tuju dibuat oleh ahli lembaga pengarah Asrawa yang terdiri daripada 8 wakil industri dan masyarakat serta 2 wakil kerajaan.

“Bukannya oleh seorang sahaja rektor yang membuat keputusan,” katanya.